AM > BERITA

Had Pembelian Beras Putih Tempatan 10Kg Dinaikkan Kepada Lima Kampit - Mohamad

28/04/2025 02:31 PM

SERDANG, 28 April (Bernama) -- Had pembelian beras putih tempatan 10 kilogram berharga RM26 kini dinaikkan kepada lima kampit bagi setiap transaksi berbanding dua kampit sebelum ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kelonggaran itu diberikan selepas mengambil kira permintaan dan keperluan semasa pengguna yang memerlukan, khususnya bagi ketua isi rumah (KIR) miskin. 

“Sebanyak 3.16 juta kampit beras putih tempatan 10 kilogram telah diagihkan melalui lebih 47,000 premis runcit berdaftar di seluruh negara setakat pertengahan April ini.

“Negeri-negeri seperti Selangor, Kedah, Perak dan Johor mencatatkan jumlah agihan tertinggi. Langkah ini menjadi antara usaha penting kementerian untuk menjamin keterjaminan bekalan beras rakyat secara konsisten,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan dan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) 2025 di Maeps, Serdang hari ini.

Sementara itu Mohamad berkata Jemaah Menteri turut menzahirkan pujian kepada KPKM, dan menyifatkan kawalan harga musim perayaan tahun ini sebagai antara yang terbaik dalam sejarah. 

“Sepanjang Ramadan dan menjelang Syawal yang lalu, kita telah menyaksikan kestabilan pasaran bagi barangan keperluan utama rakyat. Harga ayam, telur, sayur-sayuran, ikan dan daging kekal terkawal dan berpatutan, tanpa berlakunya lonjakan harga yang membebankan pengguna,” katanya. 

Dalam pada itu beliau berkata Program Semarak Syawal 2025 yang  berlangsung dari 22 hingga 30 Mac lepas menunjukkan kejayaan apabila mencatatkan nilai jualan mencecah RM21.43 juta, sekali gus melepasi sasaran asal RM20 juta. 

Mohamad berkata program berkenaan membolehkan pengguna berpeluang mendapatkan barangan keperluan Aidilfitri pada harga berpatutan dan turut membantu meningkatkan pendapatan petani dan usahawan agromakanan menjelang perayaan. 

Program ini telah dilaksanakan di 262 lokasi seluruh negara termasuk Pasar Tani, Pasar Tani Kekal, RTC serta Medan Niaga Satok di Sarawak, dengan penglibatan seramai 9,005 usahawan tempatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan