KUCHING, 28 April (Bernama) -- Sarawak telah meningkatkan platform pengiktirafannya bagi acara perniagaannya dengan pelancaran Anugerah Inspirasi Legasi Borneo (BILA), yang kini diperluas ke peringkat global bagi mengiktiraf sumbangan cemerlang.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata anugerah yang tambah baik itu, mencerminkan komitmen Sarawak terhadap kelestarian dan impak jangka panjang dalam sektor acara perniagaan global.
“Ini meletakkan industri ini sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi, perkongsian ilmu, tanggungjawab alam sekitar dan kemajuan sosial,” katanya pada sidang media BILA 2025, di sini hari ini.
Abdul Karim berkata Sarawak kini muncul sebagai hab global untuk para pakar bertukar idea dalam membentuk industri serta dasar mereka.
“Acara perniagaan hari ini menjadi pemangkin inovasi dan kemajuan, bukan sekadar platform untuk berhubung,” katanya.
Beliau berkata Sarawak perlu menyesuaikan diri, berinovasi dan menerima perubahan untuk kekal berdaya saing dalam era pendigitalan dan perubahan jangkaan audiens.
Anugerah BILA anjuran Business Events Sarawak (BESarawak), menawarkan 18 anugerah merangkumi lima kategori untuk mengiktiraf inisiatif berimpak yang memberi manfaat kepada Sarawak.
Penyertaan BILA 2025 dibuka kepada peserta daripada seluruh dunia sehingga 15 Jun 2025 untuk pencapaian antara tahun 2023 hingga Jun 2025.
Penyertaan perlu dibuat melalui laman sesawang https://legacy360.businesseventssarawak.com.
Maklumat lanjut boleh didapati di https://legacy360.businesseventssarawak.com/bila-2025/#overview.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial