AM > BERITA

Rapid Kl On-Demand Perkenal Tujuh Zon Baharu, Sokong Perkhidmatan KTM Komuter Dan KLIA Transit

28/04/2025 05:43 PM

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus), selaku pengendali perkhidmatan bas Rapid KL, bas perantara MRT/LRT dan bas Rapid KL On-Demand, kini menyokong kesalinghubungan dengan perkhidmatan rel lain seperti KTM Komuter dan KLIA Transit bermula Rabu ini.

Rapid Bus dalam kenyataan hari ini memaklumkan antara tujuh zon yang akan memulakan operasi 30 April ini ialah KTM Kajang-Jalan Reko, KTM UKM-UKM, Bandar Tasik Kesuma-Bandar Rinching, KTM Bangi-Bandar Bukit Mahkota, MRT 16 Sierra-Taman D'Alpinia, LRT Putra Heights-Rimbayu/Bandar Saujana Putra dan Stesen Salak Tinggi KLIA Transit-Kota Warisan.

“Zon baharu ini merupakan kesalinghubungan pertama yang memberikan manfaat kepada para pengguna KTM Komuter serta KLIA Transit khususnya dari sekitar Kajang, Bangi dan Salak Tinggi untuk menyambung perjalanan mereka ke destinasi seterusnya,” menurut kenyataan itu.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Ku Jamil Zakaria dalam kenyataan sama memaklumkan sambungan perjalanan bagi perkhidmatan Rapid KL On-Demand itu akan memberi kemudahan kepada mereka yang menggunakan perkhidmatan awam selain rangkaian perkhidmatan bas dan tren oleh Rapid KL.

“Ini adalah satu inisiatif bagi memberikan pengalaman penumpang dari segi perancangan perjalanan serta capaian batuan pertama dan akhir yang lebih efisien,” katanya.

Sejak perkhidmatan Rapid KL On-Demand diperkenal pada Januari 2024, 34 zon telah beroperasi di sekitar Lembah Klang dengan purata jumlah penumpang harian tertinggi mencecah 7,442 orang setakat 17 April lepas.

Perkhidmatan Rapid KL On-Demand menawarkan jaminan tempat duduk yang boleh ditempah menggunakan aplikasi Mobi, Trek Rides atau Kummute (mengikut kawasan masing-masing) dari 6 pagi hingga 11.30 malam.

“Tambang promosi RM1 terus dilanjutkan bagi memberi peluang kepada lebih ramai orang untuk menikmati perkhidmatan ini.

“Untuk maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan ini, pengguna boleh melayari media sosial rasmi Rapid KL atau laman sesawang www.myrapid.com.my,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan