GUA MUSANG, 28 April (Bernama) -- Penantian lebih 40 tahun peneroka di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) milik Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) untuk memiliki tanah sendiri bakal berakhir apabila mereka dijangka menerima geran bagi lot ladang yang diusahakan tidak lama lagi.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pemindahan pemilikan tanah itu kali pertama dilaksanakan KESEDAR selepas isu berkenaan dibangkitkan semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri tahun lepas.
“Hari ini, saya menyaksikan proses menandatangani borang pindah milik antara peneroka dan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bantuan Program Perumahan Rakyat Sejahtera dan Majlis Hari Raya Aidilfitri KESEDAR di Dataran Awam Kampung Jerek, di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata penyerahan geran tersebut bakal memberikan impak besar kepada peneroka.
“Hak milik tanah ini adalah satu pengubah keadaan (game changer) bagi para peneroka yang telah menanti lebih 40 tahun,” katanya.
Beliau juga memaklumkan bahawa KESEDAR telah membayar premium tanah kepada kerajaan negeri.
“Ia (tanah) telah dipecah lot kepada para peneroka dan geran tersebut akan diserahkan setelah semua Borang 14A disiapkan,” katanya.
Sementara itu, seorang peneroka dari Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Renok Baru, Samsudin Yakob, 56, meluahkan rasa syukur apabila penantian selama ini untuk mendapatkan geran tanah akhirnya akan berakhir.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana mengambil berat dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh peneroka sejak berpuluh tahun lalu.
“Saya sebagai generasi pertama yang membuka tanah peneroka di sini sejak tahun 1978 sudah tentu gembira dengan keputusan ini, kerana ada rakan seperjuangan saya yang sudah meninggal dunia,” katanya kepada Bernama.
Samsudin berkata menandatangani Borang 14A dan bakal menerima geran tanah sangat bermakna kepada peneroka kerana punca pendapatan mereka bergantung kepada ladang kelapa sawit.
“Sebagai generasi pertama peneroka, saya amat gembira dan berpuas hati apabila bakal memiliki tanah seluas 10 ekar yang telah diusahakan dengan ladang kelapa sawit sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, peneroka dari RKT Paloh, Hassan Salleh turut menyatakan bahawa hari ini merupakan sejarah penting bagi peneroka untuk memiliki geran tanah di kawasan KESEDAR.
“Saya berbesar hati dan mengucapkan terima kasih kerana mungkin proses pemilikan geran tanah ini akan dilaksanakan secara berperingkat kepada peneroka lain.
“Bersyukur kepada Allah, dan terima kasih kepada pihak yang telah memberi kami geran selepas 45 tahun menunggu,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial