CYBERJAYA, 28 April (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menetapkan hasrat untuk mencapai Zero Vision atau sifar kemalangan, kecederaan dan kematian di tempat kerja bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja terjamin.
Menteri berkenaan Steven Sim Chee Keong berkata pelbagai usaha yang dilaksanakan sebelum ini telah menyaksikan penurunan sebanyak 17 peratus dalam kadar kecederaan dan hampir 40 peratus dalam insiden kematian akibat kemalangan di tempat kerja sepanjang 10 tahun dari 2014 hingga 2024.
"Kemalangan di tempat kerja bukan sahaja mendatangkan kerugian dari segi kewangan, tetapi juga kecederaan dan yang paling tragis, kehilangan nyawa. Sebagai menteri, saya telah melawat keluarga mangsa yang terkorban di tempat kerja dan saya rasa perkara ini harus dihentikan.
"Kita perlu tegas dari segi undang-undang. Isu-isu iklim, perniagaan dan ekonomi tidak boleh dijadikan alasan untuk menindas pekerja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja Peringkat Kebangsaan 2025 di Universiti Multimedia di sini hari ini.
Menurut data interim Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), kadar kecederaan dan kecederaan maut bagi 2014 ialah masing-masing 3.10 per 1,000 pekerja dan 4.21 per 100,000 pekerja berbanding 2.58 per 1,000 pekerja dan 2.58 per 100,000 pekerja pada tahun lepas.
Sim berkata KESUMA menerusi JKKP telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan langkah penguatkuasaan, termasuk lebih 100 penambahbaikan kepada Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) pada tahun lepas.
Antaranya peluasan skop akta berkenaan daripada hanya 10 sektor ekonomi kepada semua sektor, mewajibkan tempat kerja yang mempunyai lebih lima pekerja untuk melantik seorang penyelaras keselamatan dan kesihatan pekerjaan, serta peningkatan kadar denda daripada RM50,000 kepada RM500,000 bagi kes kemalangan di tempat kerja.
Beliau berkata keputusan untuk meratifikasi Konvensyen C155 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) tahun lepas turut memberikan hak kepada pekerja untuk mengasingkan diri daripada tempat kerja yang dianggap berisiko kepada kesihatan dan keselamatan.
Selain itu, Sim berkata peranan digitalisasi dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) telah mempertingkatkan keberkesanan pemantauan, penguatkuasaan dan penyiasatan.
“Kita, menerusi JKKP telah menggunakan teknologi dron yang dilengkapi elemen AI (kecerdasan buatan) untuk tujuan pemantauan dan penguatkuasaan di tapak pembinaan. Dron ini mampu mengesan ketidakpatuhan keselamatan secara automatik, seperti pekerja di tempat tinggi tanpa peralatan keselamatan dan memberi maklum balas terus kepada pusat kawalan atau pegawai bertugas.
“Pada tahun lepas, penggunaan dron telah dikembangkan dengan lebih 800 penerbangan dijalankan untuk siasatan dan pemantauan, menyaksikan 119 notis dikeluarkan berdasarkan pemerhatian dron,” katanya.
Sim berkata JKKP juga telah membangunkan sebuah Makmal Realiti Maya (VR) dan Realiti Terimbuh (AR) pada Oktober tahun lepas bagi meningkatkan kecekapan dalam bidang forensik, penyiasatan, latihan dan penguatkuasaan.
Teknologi VR dan AR itu membolehkan simulasi situasi sebenar di lokasi, mempercepat hasil siasatan, mengurangkan keperluan lawatan fizikal ke tempat kejadian serta memudahkan latihan kepada pegawai baharu dengan lebih selamat dan menjimatkan kos.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial