AM > BERITA

Bernama Anjur Program Latihan AI Di Kuching

28/04/2025 08:40 PM

KUCHING, 28 April (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menganjurkan program latihan teknologi kecerdasan buatan (AI) bertajuk AI For Journalism: Transcription & Smart Tools di sini selama dua hari bermula hari ini.

Program yang diadakan di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) itu melibatkan penyertaan 30 pengamal media dari pelbagai agensi di Sarawak.

Tenaga pengajar Muhammad Hafiz Abdul Majid berkata matlamat program itu antara lain untuk mempercepat proses transkripsi serta semakan fakta menggunakan teknologi AI.

“Kita faham antara tugas wartawan ini adalah transkripsi audio atau video daripada ucapan dan juga sidang media selain menyemak ketepatan (cross-check accuracy) mengenai fakta tertentu.

“Melalui latihan ini kita ajar bagaimana untuk gunakan AI bagi selesaikan masalah mereka, jika sebelum ini kita memerlukan waktu yang lama sehingga satu jam untuk melakukan transkripsi, sekarang ini melalui AI kita boleh buat dalam 10 atau lima minit sahaja,” katanya kepada Bernama.

Mengulas lanjut, Muhammad Hafiz berkata setiap organisasi media perlu melatih petugas mereka agar mampu bersaing dalam dunia teknologi yang berubah dengan pantas setiap hari.

“Semasa teknologi AI mula diperkenalkan ramai yang kata AI akan mengambil tugas manusia tetapi saya tidak setuju kerana jika AI digunakan dengan betul kita akan bertambah baik termasuk dari segi produktiviti,” katanya.

Pusat Kecemerlangan Bernama merupakan penyelaras kursus AI untuk media di bawah peruntukan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025.

Program latihan sama akan diadakan di Sabah pada 6 dan 7 Mei depan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan