AM > BERITA

PM Anwar Mahu Projek Rumah Belia MADANI Dan Mampu Milik Mukim Batu Siap Ikut Jadual

29/04/2025 06:04 PM

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Projek Pembangunan Rumah Belia MADANI dan Rumah Mampu Milik yang bakal dibangunkan di Mukim Batu di sini, disiapkan mengikut jadual bagi memastikan pemilik tidak perlu menunggu terlalu lama.

Anwar berkata sebarang peraturan dan kelulusan berkaitan pembangunan projek itu perlu diselesaikan dengan segera, dan beliau telah meminta Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif untuk melaporkan perkembangan projek berkenaan terus kepadanya.

“Saya nak tegaskan, hari ini kita berada di majlis pecah tanah, dan saya mahu projek ini dilaksanakan tanpa berlengah. Saya tidak bersetuju dengan majlis pelancaran rumah sekadar untuk tepukan, kemudian senyap begitu sahaja selama tiga bulan.

“Saya sangat memberi perhatian kepada aspek pelaksanaan. Kalau boleh, semua kelulusan disiapkan dalam dua minggu, tidak perlu tunggu dua bulan. Jangan biarkan ia terbantut disebabkan karenah birokrasi yang tidak menentu,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Rumah Belia MADANI dan Rumah Mampu Milik di Mukim Batu, di sini.

Turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif serta Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar.

Sebanyak dua blok Rumah Belia MADANI dengan kapasiti 1,048 unit akan dibangunkan, merangkumi pelbagai kemudahan seperti dewan serbaguna, surau, dobi dan gerai MADANI seluas 6,000 kaki persegi.

Sementara itu, pembangunan Rumah Mampu Milik melibatkan tiga blok dengan keseluruhan 1,996 unit, setiap unit berkeluasan 820 kaki persegi.

Selain itu, sebanyak 20 peratus daripada keseluruhan unit rumah dalam projek ini diperuntukkan kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.

Perdana Menteri menegaskan bahawa Kerajaan MADANI komited memastikan sasaran pembinaan 500,000 unit rumah mampu milik dapat dicapai pada tahun ini.

“Dahulu pernah diumumkan sasaran 400,000 hingga 500,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh 20 tahun lalu, namun tidak pernah tercapai kerana ia memerlukan kepimpinan yang mempunyai tekad politik yang jelas.

“Bangunkan rumah orang kaya, kadang-kadang komisen lebih tinggi; bangunkan rumah kos rendah, komisennya kecil. Jadi, nak pilih yang mana? Komisen atau kebajikan rakyat? Saya tegaskan, kerajaan ini mesti mengutamakan kepentingan rakyat dan memastikan pembelaan sewajarnya,” katanya.

Menyentuh soal pembangunan bandar, Anwar menekankan bahawa ia bukan sekadar diukur melalui mercu tanda yang tinggi atau projek mega, sebaliknya mestilah memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

Anwar berkata dalam membangunkan negara MADANI, aspek yang paling utama perlu diberi perhatian adalah pembangunan insan dan kebajikan rakyat.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan