AM > BERITA

Jelajah Bandar Bersih Johor 2030 Tiba Di Mersing

29/04/2025 06:00 PM

MERSING, 29 April (Bernama) -- Mersing menjadi destinasi kedua bagi program Jelajah Bandar Bersih Johor 2030, satu inisiatif strategik Kerajaan Johor bersama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), dalam menyemarakkan budaya kebersihan serta kelestarian alam sekitar. 

Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Khalid Mohamed berkata program itu, menyasarkan 15 lokasi jelajah seluruh Johor menjelang tahun 2026, bertepatan dengan matlamat menjadikan Bandar Bersih Johor 2030.

Beliau berkata pelancaran logo “Jelajah Bandar Bersih Johor: Anda di Hati Kami” pada hari ini, melambangkan pendekatan inklusif dalam usaha bersama selain gambaran kepada pendekatan kolaboratif yang membawa makna mendalam.

“Hasil kajian yang dijalankan SWCorp, 97.7 peratus penduduk setempat menyatakan sokongan besar terhadap inisiatif pelaksanaan Bandar Bersih Johor 2030 (sekali gus) menunjukkan kesedaran awam yang tinggi.

“Program ini telah dirangka khas bermatlamat memperkasakan penglibatan aktif masyarakat dalam setiap aktiviti yang mempromosi kebersihan dan kelestarian alam sekitar. Justeru, kita berharap agar semua pihak dapat memberi komitmen dan kerjasama padu untuk bersama-sama merealisasikan aspirasi menuju Bandar Bersih Johor 2030,” katanya. 

Khalid berkata demikian ketika berucap pada program Jelajah Bandar Bersih Johor 2030 yang dirasmikan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Johor Datuk Samsolbari Jamali di sini hari ini.

Khalid berkata program itu turut melibatkan pelbagai pengisian aktiviti interaktif di empat lokasi utama sekitar daerah ini, iaitu Taman Wawasan, Pantai Air Papan, Mersing Harbour Centre dan Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim. 

“Antaranya termasuk penyerahan Kerjasama Pintar Bandar Bersih Johor 2025-2030, gotong-royong mengecat 165 petak peletakan tong dan sesi tukar tong sampah baharu, demonstrasi pengoperasian Pusat Kitar Semula Pandu Lalu (DTRC), serta mesin kompos dan Kempen Hargai Makanan Elak Pembaziran.

“Program jelajah yang berbentuk libat urus antara SWCorp, PBT dan agensi berkaitan bersama masyarakat setempat itu juga menyasarkan pelaksanaan secara berperingkat di 15 lokasi seluruh Johor menjelang 2026,” katanya.

Khalid berkata program Trash to Cash dan Free Market, bukan sahaja menggalakkan amalan kitar semula dan pengurangan sisa, tetapi juga memperkasakan komuniti dengan peluang ekonomi kitaran yang mapan.

“Berdasarkan pencapaian tahun lepas, sebanyak 3.435 juta kilogram barang kitar semula dengan nilai jualan keseluruhan berjumlah RM1.527 juta, berjaya dikumpul melalui pelaksanaan program Trash to Cash.

“Ini merupakan satu pencapaian yang boleh dibanggakan dan menunjukkan tahap kesedaran masyarakat untuk melaksanakan aktiviti kitar semula makin mendapat sambutan,” katanya.

Mersing menjadi destinasi kedua program berkenaan selepas Johor Bahru dan destinasi seterusnya ialah Kota Tinggi pada 24 Mei, Segamat (5 Jun), Iskandar Puteri (21 Jun), Simpang Renggam (26 Julai), Batu Pahat (23 Ogos), Muar (25 Okt), Pontian (7 Feb 2026), Labis (25 April 2026), Tangkak (16 Mei 2026), Pasir Gudang (27 Jun 2026), Kluang (25 Julai 2026), Yong Peng (22 Ogos 2026) dan Kulai (24 Okt 2026).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan