KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini melancarkan Kit Perkhidmatan Awam bagi memastikan pegawai awam lebih memahami sistem pentadbiran Kerajaan MADANI yang progresif.
JPA dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa inisiatif yang dilancarkan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan memperkukuh Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam.
Menurut jabatan itu, kit berkenaan juga selaras dengan aspirasi nilai MADANI Keyakinan serta prinsip H.E.M.A.T. dalam kerangka nilai Hijrah Tata Kelola.
"Ia juga bertujuan memperkasa pembangunan kompetensi agar lebih kompetitif, inklusif, dan berdaya saing dalam mendukung Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam ke arah yang lebih cemerlang," menurut kenyataan itu.
Kit Perkhidmatan Awam merupakan panduan khusus yang digariskan untuk memperkukuh kefahaman pegawai awam, khususnya pegawai lantikan baharu terhadap sistem pentadbiran negara, bermula dari fasa pelantikan, perkhidmatan sehinggalah ke fasa persaraan.
Menurut JPA, kit itu menjadi landasan penting untuk mempercepatkan proses penyesuaian diri pegawai dengan ekosistem perkhidmatan awam secara efektif dan berdaya saing.
Empat prinsip utama menjadi teras pelaksanaan kit ini, iaitu, panduan awal yang jelas; pengenalan kepada tugas dan tanggungjawab; pendedahan kepada hak dan faedah; dan maklumat prosedur pentadbiran.
“Dengan tekad untuk melahirkan pegawai awam yang berketerampilan, efisien dan berwibawa, JPA komited memperkukuh sektor awam melalui penyediaan dasar dan peraturan yang menyeluruh.
"Usaha ini bertujuan membentuk modal insan yang berjiwa besar, berilmu, berkemahiran tinggi, berintegriti dan berprestasi cemerlang demi memastikan sektor awam terus menjadi tunjang kepada kemajuan dan kesejahteraan negara," menurut kenyatan itu.
Kit Perkhidmatan Awam kini boleh diakses secara rasmi melalui Portal Rasmi Jabatan Perkhidmatan Awam di pautan https://docs.jpa.gov.my/docs/flipbook/KIT-PERKHIDMATAN-AWAM/4/ bermula semalam (29 April).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial