AM > BERITA

Hampir 4,000 Kursus Kemahiran Ditawarkan Menerusi UP TVET

30/04/2025 04:03 PM

KOTA BHARU, 30 April (Bernama) -- Hampir 4,000 kursus ditawarkan menerusi portal Unit Pengambilan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (UP TVET) bagi kemasukan ke 1,624 institusi latihan kemahiran awam dan swasta di seluruh negara.

Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Wilayah Timur Zulkifli Mat Daud berkata setakat ini, antara kursus yang merekodkan permohonan tertinggi adalah berkaitan automotif, kimpalan, kulinari dan fesyen.

“TVET penting dalam melahirkan tenaga kerja mahir dan berdaya saing serta semakin mendapat perhatian. Justeru, penawaran hampir 4,000 kursus di seluruh negara mampu menarik minat mereka memasuki aliran ini.

“Menerusi UP TVET, terdapat dua kategori permohonan iaitu Perdana dan Fleksibel dengan pemohon boleh memilih laluan TVET sesuai dengan keperluan sama ada mengikuti kursus panjang secara sepenuh masa dan kursus pendek secara fleksibel atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jerayawara UP TVET: Sesi bersama Guru Bimbingan, Kaunseling dan Guru TVET sekolah Kelantan di Institut Latihan Perindustrian Kota Bharu, Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Zulkifli berkata lebih 100,000 pengunjung portal UP TVET telah direkodkan setakat ini dan pihaknya giat mempromosikan portal berkenaan di seluruh negara.

“Kita berharap promosi sebegini dapat memperluas maklumat mengenai portal UP TVET bagi mendorong lebih ramai pelajar menggunakan portal ini untuk membuat pilihan dan memohon kursus bersesuaian minat serta keperluan pekerja mahir negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan