AM > BERITA

N. Sembilan Catat Peningkatan Kedatangan Pelancong Tahun Lepas

30/04/2025 08:46 PM

SEREMBAN, 30 April (Bernama) -- Negeri Sembilan mencatatkan peningkatan ketara dalam kedatangan pelancong iaitu kira-kira 20 juta tahun lepas berbanding 5.5 juta direkodkan pada 2021, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri Nicole Tan berkata promosi pelancongan akan diperluas sempena Tahun Melawat Negeri Sembilan (TMNS) 2026, sekali gus membawa impak positif kepada ekonomi masyarakat setempat.

“Bagi menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini, pelbagai inisiatif strategik dirancang seperti mempergiatkan promosi antarabangsa melalui penyertaan pameran pelancongan dan misi jualan ke luar negara, platform digital serta kerjasama dengan ejen pelancongan dalam dan luar negara,” katanya pada sesi penggulungan pada persidangan DUN di sini hari ini.

Beliau berkata menerusi Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan, gerak kerja promosi disusun secara berperingkat sepanjang tahun dan melibatkan semua daerah, bermula daripada prapelancaran pada Jun, manakala pelancaran TMNS 2026 dijadualkan pada Disember di Port Dickson.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital negeri Datuk Mohd Faizal Ramli berkata kerajaan negeri komited ke arah penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pelbagai sektor, selaras dengan usaha memperkasakan transformasi digital di negeri itu.

Mohd Faizal berkata antara skop penggunaan AI yang boleh diberikan tumpuan ialah pemerkasaan ekonomi digital, perkhidmatan awam dan perancangan pengurusan bandar, namun masih terdapat cabaran yang perlu ditangani iaitu infrastruktur teknologi tidak mencukupi.

“Dalam hal ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) komited memperluas rangkaian internet melalui inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) menerusi pembinaan struktur baharu, pembangunan jalur lebar gentian optik bagi talian tetap dan meningkatkan capaian teknologi 5G di seluruh kawasan berpenduduk,” katanya.

Beliau berkata bagi pelaksanaan projek JENDELA, sebanyak 90 daripada 105 struktur pemancar baharu selesai dibina dan beroperasi, 1,666 stesen pemancar sedia ada siap dinaik taraf kepada teknologi rangkaian 4G dan 220,444 daripada 221,627 sambungan talian tetap berasaskan gentian optik siap tersedia.

Mohd Faizal berkata bagi pembangunan rangkaian 5G melalui MCMC dan Digital Nasional Berhad (DNB), sebanyak 229 daripada 232 tapak (77.6 peratus) liputan 5G (COPA) siap dibangunkan menerusi pembinaan struktur baharu serta struktur sedia ada di kawasan utama setiap daerah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan