AM > BERITA

MyCreative Terus Sokong Penggiat Seni, Peruntuk RM13 Juta Bagi DKK Industri Muzik, SDP 2025 - Fahmi

30/04/2025 09:03 PM

PUTRAJAYA, 30 April (Bernama) -- Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures (MyCreative) memperuntukkan sebanyak RM13 juta bagi program Dana Kandungan Kreatif (DKK) Industri Muzik dan Skim Dana Padanan (SDP) untuk menyokong penggiat industri seni tempatan tahun ini.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata permohonan bagi DKK Industri Muzik yang dibuka mulai hari ini menawarkan tiga kategori iaitu Dana Persembahan Muzik (yang akan ditutup pada 11 Jun ini) serta dua lagi iaitu Dana Pemasaran dan Promosi Antarabangsa serta Dana Pemasaran dan Promosi Domestik (yang akan dibuka sepanjang tahun).

"Hingga kini, program DKK Industri Muzik telah menyalurkan sebanyak RM23 juta kepada 223 penerima, memberikan sokongan berdasarkan merit, kebolehlaksanaan serta potensi kebolehpasaran projek dalam usaha memperkasakan ekosistem muzik negara," katanya .

Beliau berkata demikian pada sidang media pascamesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Bagi SDP 2025 pula yang turut dibuka permohonan mulai hari ini, Fahmi berkata MyCreative menawarkan geran padanan 1-dengan-1 sehingga RM250,000 bagi setiap permohonan yang berjaya.

Beliau berkata antara syarat utama SDP 2025 ialah projek kreatif yang dikemukakan mesti dimiliki entiti berdaftar dalam industri kreatif Malaysia dan meliputi bidang seni persembahan, seni visual, kraf, muzik serta kandungan kreatif digital atau seni merentas disiplin. 

"Permohonan daripada sektor kreatif selain yang disokong MyCreative turut akan dipertimbang sekiranya memenuhi kriteria dan objektif program," katanya. 

Maklumat lanjut dan pemohonan pendaftaran bagi DKK Industri Muzik dan SDP 2025 boleh diakses melalui pautan www.mycreative.com.my/fundings.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan