AM > BERITA

Hanya Guna MyKad, SARA Tiba Tepat Waktu Bantu Keluarga Berpendapatan Rendah

01/05/2025 11:19 AM

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 1 Mei (Bernama) -- “Hanya guna MyKad menjadikan segalanya lebih mudah, terutama bagi golongan seperti kami yang sentiasa perlu berjimat cermat. Lagipun ia bersifat peribadi, orang lain tidak akan tahu kita penerima bantuan.”

Demikian pendapat Norlela Jumat, seorang ibu dan pekerja pembersihan pejabat di sini ketika ditanya mengenai Sumbangan Asas Rahmah (SARA), yang turut menyifatkan inisiatif itu banyak membantunya dalam menampung keperluan harian keluarga lebih-lebih lagi ketika menunggu hari gaji.

Dia berkata bantuan yang dikreditkan setiap bulan ke dalam MyKad penerima, boleh digunakan terus di pasar raya terpilih sekali gus membuatkan pembelian barangan keperluan lebih cepat, mudah dan selamat.

Berkongsi pandangan sama, Nurhidayah Olivia Abdullah, 29, berkata sejak menerima bantuan itu pada April menerusi sistem MyKad, fikirannya kini lebih tenang memandangkan sebelum ini hanya bergantung pada pendapatan yang tidak menentu sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Ia sangat membantu. Kini saya tidak perlu risau jika tidak cukup wang tunai untuk membeli barangan keperluan. Saya hanya perlu imbas MyKad di kaunter dan prosesnya juga cepat serta lancar,” katanya kepada Bernama baru-baru ini. 

Jamnah Sabah, 48, yang juga anggota RELA pula berkata inisiatif SARA dan program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) datang pada waktu yang tepat, terutama bagi keluarganya. 

“Untuk SARA, saya amat menghargai kemudahan yang disediakan dengan hanya menggunakan MyKad di kedai. Ia menjimatkan masa dan saya tidak perlu menjelaskan apa-apa atau mengemukakan dokumen tambahan, kaedah ini sangat membantu,” katanya. 

Bagi bapa tunggal, Roslan Idris, 38, yang melakukan dua pekerjaan sambilan untuk menyara tiga anaknya yang masih bersekolah, kedua-dua bantuan SARA dan STR membantu meringankan beban kewangannya. 

“STR membantu dari segi keperluan sekolah manakala SARA memastikan dapur saya sentiasa ada makanan. Paling saya suka hanya guna MyKad untuk berurusan di kaunter, tidak perlu susah payah dan ia amat membantu terutama bila saya sibuk menguruskan dua kerja,” katanya.

Sementara itu, Siti Aminah Matdehanan, 44, yang berkerja sebagai pekerja pembersihan pejabat dengan gaji RM1,400 sebulan, berkata bantuan tersebut membolehkan dia memastikan keperluan asas keluarga sentiasa tersedia.

“Kaedah menggunakan MyKad sangat mudah. Saya tidak perlu beratur di kaunter untuk mendapatkan baucar atau wang bantuan, hanya perlu imbas dah selesai,” katanya. 

Program SARA merupakan sumbangan tambahan kepada penerima STR yang dikategorikan sebagai miskin atau miskin tegar di bawah eKasih.

Inisiatif berkenaan mencerminkan usaha untuk meningkatkan kehidupan golongan kurang berkemampuan melalui kerangka Ekonomi MADANI sekali gus memperbaiki kualiti hidup semua rakyat Malaysia dengan memastikan setiap orang mendapat manfaat dan peluang yang adil, menikmati taraf hidup lebih baik, serta perlindungan sosial mencukupi.

Di bawah Kerajaan MADANI, bantuan tahunan SARA tahun ini telah dinaikkan kepada RM2,100 untuk isi rumah yang layak dan berdaftar dalam sistem eKasih, berbanding RM1,200 yang diberikan tahun lepas.

Dari Januari hingga Mac 2025, penerima memperoleh RM100 sebulan yang dikreditkan terus ke akaun MyKad mereka dan bermula 1 April lepas, jumlah ini dinaikkan kepada RM200 yang memberi manfaat kepada 5.4 juta penerima.

Pada 24 Mac lepas, kerajaan melancarkan fasa dua pembayaran STR yang memberi manfaat kepada 8.5 juta penerima iaitu mewakili 60 peratus daripada orang dewasa di Malaysia, dengan bantuan hingga RM650. Fasa ini melibatkan dana sebanyak RM1.7 bilion, peningkatan daripada RM1.5 bilion tahun lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan