AM > BERITA

RUU Pekerja Gig Dibentang Pada Sidang Parlimen Akan Datang - PM Anwar 

01/05/2025 12:40 PM

KUALA LUMPUR, 1 Mei  (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan segala isu dan kebajikan berkaitan pekerja gig akan ditangani segera menerusi penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig.

Beliau berkata rang undang-undang itu akan dibentangkan pada Persidangan Dewan Rakyat akan datang.

"Terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki khususnya melibatkan aspek perlindungan kumpulan pekerja berkenaan,” katanya ketika menyampaikan amanat sempena Sambutan Hari Pekerja 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Sumber Manusia Steven Sim.

Hadir sama Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, barisan Menteri Kabinet, ketua setiausaha kementerian serta ketua-ketua agensi.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Terdahulu dalam ucapannya, Sim menyeru semua pihak untuk memberi sokongan kepada kerajaan dalam meluluskan RUU itu.

“Saya ingin menyeru kepada semua pihak, jangan menghalang kerajaan membela nasib pekerja gig. Berilah sokongan kepada kerajaan untuk membentangkan RUU Pekerja Gig demi membela nasib pekerja gig kita,” katanya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan Kementerian Sumber Manusian (KESUMA) akan menubuhkan sebuah Pusat Sehenti Perkhidmatan Pekerja bagi memudahkan mereka mendapatkan perkhidmatan berkaitan isu perburuhan dengan meletakkan urusan beberapa jabatan serta agensi kementerian di bawah satu bumbung.

Sim berkata projek perintis itu akan melibatkan tiga pusat sehenti di Pulau Pinang, Lembah Klang dan Johor Bahru.

Bertemakan “Pekerja Kesuma Bangsa”, sambutan tahun ini dihadiri lebih 10,000 warga kerja pelbagai sektor daripada agensi awam dan swasta .

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan