AM > BERITA

Blok A Menara Kinabalu Dilimpahi Air Akibat Kerosakan Komponen 'Float Valve'

01/05/2025 04:21 PM

KOTA KINABALU, 1 Mei (Bernama) -- Kerosakan pada komponen Float Valve tangki air simpanan sistem pencegah kebakaran di Aras 11, Blok A, Menara Kinabalu di sini semalam menyebabkan berlaku limpahan air di kawasan pejabat.

Pengarah Jabatan Kerja Raya Sabah Philemon Lajawai berkata kejadian pada 12.25 tengah hari itu mengakibatkan aras 7 hingga 11 blok terbabit ditakungi air meliputi kawasan seluas 2,588 meter persegi termasuk lif.

“Kerja-kerja pembersihan selesai dilakukan pada 11.30 malam Rabu (30 April),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu kejadian itu tular menerusi media sosial memaparkan kawasan pejabat dilimpahi air.

Philemon berkata kelewatan pihak syarikat pengurusan fasiliti, Sinar Uni-Resources Sdn Bhd untuk menutup pam air telah mengakibatkan air melimpah dari aras 11 hingga 7.

Beliau berkata dianggarkan 34,000 liter air telah dipam secara berterusan dalam tempoh 45 minit yang telah mengakibatkan limpahan air tersebut dan komponen yang rosak telah digantikan serta-merta. 

“Sebagai langkah keselamatan, pemeriksaan, penyelenggaraan dan bagi mengurangkan risiko kerosakan pada sistem lif, sistem pengoperasian lif (lapan lif) telah ditutup serta-merta semasa kejadian.

“Operasi satu lif petugas telah disahkan selamat pada 6 petang semalam, manakala satu lif kargo tidak terkesan insiden dan masih berfungsi seperti biasa,” katanya.

Jabatan Kerja Raya Negeri Sabah akan menjalankan siasatan secara terperinci berkaitan insiden itu untuk mengesahkan tiada unsur-unsur kecuaian dan mengelakkan perkara sama daripada berulang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan