BATU KAWAN, 1 Mei (Bernama) -- Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot ketika menyauk kerang di Kilometer 4.2 Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah di sini hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang Mohamad Shoki Hamzah berkata mangsa, yang dikenali sebagai Ismail Ahmad, 28, masih belum dijumpai.
Beliau berkata enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Kawan, yang digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada 10.39 pagi, kemudian memulakan operasi mencari dan menyelamat.
“Kejadian melibatkan sebuah bot yang telah melanggar tiang bernombor 274 di Jambatan Kedua Pulau Pinang itu dan terdapat seorang mangsa iaitu pengendali terjatuh ke dalam laut.
“Bapa dan rakan mangsa turut berada di lokasi ketika kejadian. Mereka menaiki bot berbeza dan berada dalam keadaan selamat,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Mohamad Shoki memaklumkan usaha mencari mangsa sedang giat dijalankan di lokasi di mana dia dipercayai terjatuh menggunakan kaedah pencarian di permukaan air dan operasi itu turut dibantu oleh Persatuan Nelayan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia serta Pasukan Penyelamat di Air.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial