KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Peranan dan fungsi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) akan terus diimbangi mengikut perkembangan teknologi semasa, khususnya menerusi penggunaan kecerdasan buatan (AI), supaya kekal relevan sebagai agensi berita utama di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata langkah itu seiring dengan pengiktirafan diterima Bernama menerusi Anugerah Media Terbaik (Agensi) yang menjadi penyuntik semangat kepada warga agensi berita berkenaan untuk maju ke hadapan.
"Bernama akan seimbangkan perkara ini dengan tambah baik peralatan, perkakasan, seiring teknologi semasa, dengan memberi tumpuan kepada penggunaan AI menerusi pelbagai siri latihan dan kursus. Ini antara usaha Bernama untuk melatih secara mendalam petugas atau talent Bernama terutamanya di bahagian TV," katanya selepas temu bual eksklusif bersama Bernama Radio di sini, hari ini.
Dalam hal ini, beliau berkata Bernama sedang membangunkan satu aplikasi mobil yang mengetengahkan elemen AI, selain menjalinkan kerjasama dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) untuk satu sistem analitik serta chatbot yang boleh dimanfaatkan oleh pembaca.
"Ini juga harus dimanfaatkan oleh warga Bernama terutama golongan wartawan," katanya yang turut berpesan supaya wartawan tidak meminggirkan etika kewartawanan dalam melaporkan sesuatu berita dengan memastikan kesahihan sumber serta fakta.
Nur-ul Afida juga menyasarkan aplikasi mobil yang sedang dibangunkan itu dapat dilancarkan seawalnya pada penghujung tahun ini atau selewatnya pertengahan tahun depan.
Semalam, peranan Bernama mendapat pengiktirafan apabila agensi berita itu menerima Anugerah Media Terbaik (Agensi) yang disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2025
Anugerah yang julung kali diadakan itu adalah antara dua kategori baharu diperkenalkan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) selain Anugerah Tokoh Pekerja Negara Perkhidmatan Awam (Pengurusan Atasan).
Anugerah Media Terbaik (Agensi) sebagai mengiktiraf peranan cemerlang agensi media dalam penyampaian maklumat yang tepat, pantas dan berintegriti kepada rakyat menerusi pelbagai platform berita.
Antara anugerah yang pernah dimenangi Bernama sebelum ini adalah Anugerah Khas Kepimpinan Perdana Universiti Awam Malaysia – Agensi Penyiaran Berita (Badan Berkanun) Paling Popular di Universiti Awam (UA) pada 20 Ogos tahun lepas dan Anugerah Media Tahun 2024 pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA).
Selain itu, Anugerah Kecemerlangan Media Digital dan Audio pada Majlis Anugerah Kolaborasi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) 2023/2024, Anugerah Khas Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta lima anugerah lain pada majlis Anugerah Kecemerlangan Media (AkeMedia) KPKT 2024.
Sementara itu Nur-ul Afida berkata kekuatan sebenar Bernama terletak kepada tenaga kerjanya yang komited, cekap dan mampu menyesuaikan diri dengan landskap media yang sentiasa berubah sehingga berjaya meraih pelbagai anugerah termasuk Anugerah Media Terbaik (Agensi).
“Kita mempunyai banyak platform dan petugas kita juga telah dididik supaya lebih ‘multitasking’ terutama wartawan, apabila turun ke lapangan membuat tugasan. Mereka bukan sekadar menghasilkan laporan, malah mereka harus menghantar ‘oneliner’ atau ‘breaking news’.
“Membuat kandungan (untuk platform) online dan sebagainya.. Jadi, kita sama dengan media-media lain kerana kita mengikuti teknologi, tetapi pada masa yang sama, kita tidak membiarkan teknologi memerangkap kita,” katanya.
Beliau berkata walaupun Bernama bergerak seiring dengan teknologi semasa, agensi berita itu tetap meletakkan keutamaan kepada etika kewartawanan, ketepatan fakta dan kesahihan sumber berita sebagai asas pelaporan.
“Bernama tetap berperanan penting menghubungkan rakyat Malaysia dengan maklumat relevan, sahih, tepat serta berintegriti. Apatah lagi, kita nak menjaga keharmonian antara semua pihak,” katanya yang turut merakamkan penghargaan kepada semua warga Bernama khususnya Jabatan Pengarang atas pencapaian itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial