AM > BERITA

Jemaah Haji Malaysia Di Madinah Mula Memasuki Makkah Secara Berperingkat

02/05/2025 01:16 PM

Daripada Nurliyana Farhah Ruslan

MADINAH, 2 Mei (Bernama) -- Jemaah haji Malaysia bagi musim 1446H/2025 di sini, akan mula bergerak ke Makkah secara berperingkat, bermula dengan kumpulan pertama (KT1) sebanyak 284 orang pada 4 Mei ini.

Pengurus Zon Dua Madinah Shahidan Ishak berkata bagi memastikan kelancaran perjalanan, jemaah haji akan menghadiri sesi taklimat yang dikendalikan oleh petugas Tabung Haji (TH) sehari sebelum berlepas ke Makkah.

“Jadi, kita akan beri taklimat persediaan kepada jemaah bagi memastikan mereka memahami dan mengikuti semua keperluan sebelum berangkat termasuk pemakaian ihram serta persiapan lain yang perlu dilakukan.

"Antara perkara yang akan dimaklumkan dalam taklimat ialah lokasi dan waktu berniat ihram. Sebagai contoh, jemaah hanya akan berniat ihram apabila tiba di Miqat Bir Ali sebelum meneruskan perjalanan ke Makkah untuk melaksanakan ibadah umrah,” katanya ketika ditemui media.

Shahidan berkata TH turut menyediakan kaunter bimbingan dan ziarah di Pejabat Operasi Madinah bagi memudahkan jemaah mendapatkan maklumat serta panduan berkaitan ibadah umrah dan haji.

“Selain itu, sebanyak 13 petugas terdiri daripada lapan petugas haji dan lima petugas Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) ditempatkan di Zon Dua Madinah bagi memastikan kelancaran operasi pengurusan jemaah haji pada musim ini,” katanya.

Dalam pada itu, Shahidan turut menasihati jemaah haji untuk sentiasa memakai tanda nama serta gelang pengenalan diri bagi memudahkan urusan pengesanan dan keselamatan sepanjang berada di Tanah Suci.

“Pada masa yang sama, segala maklumat akan disalurkan secara berterusan kepada jemaah melalui kumpulan WhatsApp rasmi dan juga papan-papan buletin yang disediakan di sekitar kawasan hotel penginapan, bagi memastikan jemaah sentiasa mendapat informasi yang tepat sepanjang berada di Tanah Suci,” katanya.

Shahidan berkata pelbagai kemudahan turut disediakan kepada jemaah yang berada di Zon Dua Madinah termasuk kaunter khidmat pelanggan dan kaunter Bank Islam, selain perkhidmatan pengurusan bagasi serta kaunter pendaftaran kad sim prabayar.

Bagi musim haji kali ini, TH menyediakan tiga bangunan penginapan jemaah haji di Madinah, iaitu di zon satu menempatkan jemaah di Anwar Al Madinah Movenpick dan Saja Al Madinah manakala zon dua di Emaar Royal Hotel Madinah.

Sebanyak 122 daripada 632 petugas TH yang bertugas musim haji tahun ini ditempatkan di Madinah bagi memastikan perjalanan ibadah haji Duyufurrahman berjalan lancar dan sempurna.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan