KAMPAR, 2 Mei (Bernama) -- Program Cashless@NADI anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mencatatkan 3,216 transaksi tanpa tunai di 27 lokasi di seluruh Perak setakat ini, sejak mula dilaksanakan pada 12 Feb lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Mohd Azlan Helmi berkata sebanyak 141 peniaga telah berjaya didaftarkan secara digital sepanjang tempoh berkenaan.
“Program ini telah melalui dua fasa yang melibatkan beberapa negeri seperti Melaka, Johor, Negeri Sembilan dan Pahang pada 2023 dan 2024.
“Kejayaan ini telah menjadi pemangkin kepada pelaksanaan fasa tiga yang diperluas ke negeri Perak dengan semua lokasi penganjuran melibatkan kerjasama antara MCMC dengan beberapa rakan strategik,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Cashless Carnival Perak 2025 di Dewan Arena Tualang Sekah, di sini hari ini.
Program itu mula dilaksanakan di 28 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara pada 2023 melalui fasa pertama selain diteruskan setahun kemudian di Johor, Negeri Sembilan dan Pahang untuk fasa kedua.
Dalam tempoh itu, sejumlah 17,829 transaksi tanpa tunai direkodkan melibatkan 44,203 pengunjung selain 4,220 peniaga berjaya didaftarkan dalam premis digital.
Sementara itu, Mohd Azlan berkata pihaknya bercadang menyebarluaskan penganjuran program itu ke peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memastikan kesedaran berhubung pendekatan terbabit dapat ditingkatkan kepada semua golongan.
“Sebaran secara meluas bukan hanya dapat meningkatkan pemahaman, malah ia seiring dengan seruan pelan Perak Sejahtera 2030 yang mahu rakyat Perak mengadaptasi inovasi, teknologi serta perkhidmatan digital bagi meningkatkan ekonomi, produktiviti, dan kualiti hidup,” katanya.
Selain itu, beliau berkata lebih 5,000 pengunjung terutama penduduk di sekitar DUN Tualang Sekah menghadiri karnival sehari itu yang turut disertai beberapa agensi seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Bank Simpanan Nasional (BSN), Bank Islam, Touch ‘n Go Digital dan sebagainya.
Mohd Azlan berkata karnival berkenaan menyediakan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan kepada pengunjung membabitkan urusan perbankan, bayaran saman, Jualan Rahmah MADANI dan banyak lagi.
Ia bertujuan meningkatkan tahap kesedaran komuniti tempatan dan peniaga tentang manfaat penggunaan bayaran tanpa tunai dan penerimagunaan teknologi seperti e-dompet, DuitNow, kod respons pantas (QR) dan kad debit/kredit.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial