AM > BERITA

Isu Keselamatan: Pembinaan Jambatan Baharu Jalan Permatang Pauh Diberi Keutamaan - Nanta

02/05/2025 05:13 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Cadangan pembinaan jambatan baharu bagi menggantikan Jambatan Kampung Bertam di Jalan Permatang Pauh, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang akan diberi keutamaan, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata semakan Unit Forensik Jabatan Kerja Raya (JKR) pada pertengahan 2024 mendapati, jambatan sedia ada berada dalam keadaan uzur dan tidak lagi selamat untuk kegunaan jangka panjang.

“Saya mengambil serius isu ini dan akan berusaha agar cadangan pembinaan jambatan baharu ini diberikan keutamaan dalam perancangan dan peruntukan mendatang.

“Keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan kami di Kementerian Kerja Raya,” katanya menerusi hantaran di Facebook, selepas meninjau keadaan Jambatan Kampung Bertam itu yang terletak berdekatan dengan mercu tanda Masjid Papan.

Beliau berkata pada penghujung tahun lepas, kerja-kerja pembaikan sementara melibatkan pemasangan batu penahan dengan kos RM90,000, telah dilaksanakan bagi mengurangkan risiko kegagalan struktur.

Selain itu, Nanta berkata JKR sedang merancang pelaksanaan kerja pembaikan sementara tambahan seperti Suntikan Poliuretana, bagi memastikan jambatan itu terus boleh digunakan tanpa berkompromi dengan keselamatan pengguna.

“Saya dimaklumkan, JKR Seberang Perai Tengah dan syarikat konsesi jalan persekutuan sentiasa membuat pemantauan berterusan keadaan jambatan dari semasa ke semasa,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan