AM > BERITA

Bantuan STR, SARA Kurangkan Beban Kewangan Ibu Tunggal, Suri Rumah

03/05/2025 09:45 AM

Oleh Rozlin Rusharmeen Rosmin

KUCHING, 3 Mei (Bernama) -- Di sebalik gerai kecil yang terletak di Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Kidurong, Bintulu terserlah ketabahan seorang ibu tunggal, Junieta Bokhari, 74, yang cekal mencari rezeki demi menyara hidup selepas pemergian suami sembilan tahun lepas.

Mengusahakan gerai burger bersama empat anak lelakinya berusia antara 18 hingga 29 tahun sejak dua tahun lepas, Junieta berkata keputusan membuka gerai itu di kawasan luar rumahnya untuk menambah perbelanjaan menyara keluarga memandangkannya tidak bekerja.

“Syukur ada terima pencen arwah suami tetapi kos kehidupan tidak lagi sama seperti dahulu dan selain membuka gerai burger, saya juga mengambil tempahan membuat kuih sekiranya ada permintaan dan sedikit sebanyak dapatlah menambah pendapatan menampung keluarga,” katanya kepada Bernama. 

Selain itu, Junieta berkata bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang diterima sejak 2023 bagaikan 'sinar rahmat' buatnya untuk dijadikan modal perniagaan membeli bahan bagi meneruskan kelangsungan perniagaan burgernya.

Wanita itu mengakui STR yang diterimanya itu mungkin pada segelintir orang dianggap tidaklah ‘sebanyak mana’ namun bagi Junieta jumlah itu banyak memberi kelegaan kepadanya.

“Duit bantuan sedikit sebanyak membantu kami untuk meneruskan perniagaan secara kecil-kecilan. Jumlah yang diterima untuk STR ialah RM800 dan diberikan secara berperingkat, fasa pertama RM500 manakala selebihnya fasa kedua.

“Selain STR, saya juga bersyukur apabila layak untuk menerima bantuan SARA (Sumbangan Asas Rahmah) sebanyak RM100 sebulan bermula April lepas,” katanya sambil menambah bantuan itu membuktikan keprihatinan kerajaan dalam membantu meringankan beban golongan ibu tunggal berpendapatan rendah sepertinya. 

Kerajaan menyalurkan pembayaran STR Fasa Dua bermula 24 Mac, dengan peruntukan RM1.7 bilion berbanding RM1.5 bilion pada tahun lepas, melibatkan hampir sembilan juta penerima terdiri daripada 60 peratus rakyat dewasa Malaysia mendapat bantuan hingga RM650.

Sementara SARA, ialah usaha Kerajaan MADANI meringankan beban kos sara hidup golongan berpendapatan rendah menerusi bantuan dikreditkan ke MyKad penerima dengan mereka yang mendapat manfaatnya diperluas kepada 5.4 juta penerima bermula 1 April. 

Jumlah itu meningkat hampir lapan kali ganda berbanding 700,000 penerima sedia ada dengan kadar bantuan bulanan dinaikkan hingga RM200 mengikut kategori berbanding RM100 sebelum ini sekali gus membuktikan komitmen jelas Kerajaan MADANI menyejahterakan kehidupan rakyat. 

Dalam pada itu, penerima bantuan SARA yang juga golongan suri rumah turut menzahirkan rasa syukur atas bantuan yang diterima kerana dapat membantu pasangan mereka membeli barangan keperluan rumah dan anak. 

Bagi ibu kepada empat cahaya mata, Farida Bahari, 50, yang berasal dari Kuching, bantuan berkenaan mengurangkan beban kewangan suaminya yang hanya memperoleh pendapatan sekitar RM2,000 sebagai pekerja buruh binaan.

“Bantuan ini boleh digunakan membeli keperluan barangan dapur dan kebersihan diri untuk kami di rumah. Tambahan pula, anak bongsu kami Orang Kurang Upaya (OKU), jadi bantuan bulanan ini boleh digunakan untuk membeli barangan keperluannya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan