AM > BERITA

Presiden Kosovo Lawat Makam Pahlawan, Ziarah Kubur Tun Abdullah

03/05/2025 01:50 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Presiden Kosovo Dr Vjosa Osmani hari ini melawat Makam Pahlawan untuk memberi penghormatan kepada bekas perdana menteri dan pemimpin negara yang disemadikan di sini, sebagai sebahagian daripada lawatan rasmi empat harinya ke Malaysia yang bermula Khamis lepas.

Dalam lawatan ke makam yang terletak di dalam perkarangan Masjid Negara itu, Osmani turut menziarahi kubur Perdana Menteri kelima Malaysia Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang meninggal dunia pada 14 April lepas.

Turut hadir ialah Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek sebagai menteri pengiring.

Turut mengiringi Osmani ialah anak Allahyarham Tun Abdullah, Tan Sri Kamaluddin Abdullah dan anak perempuannya, Nori Abdullah.

Lawatan ini mencerminkan penghargaan Kosovo terhadap sokongan padu Malaysia, khususnya di bawah kepimpinan Allahyarham, semasa negara itu mengharungi pembinaan negara, dan ia mengetengahkan nilai keamanan bersama, perpaduan dan saling menghormati antara kedua-dua negara.

Semalam Osmani menganugerahkan Order of Independence yang merupakan penghormatan tertinggi Kosovo kepada Tun Abdullah secara anumerta, sebagai mengiktiraf dedikasinya terhadap keamanan dan kebebasan di Kosovo serta sokongan padu Allahyarham terhadap kemerdekaan dan usaha pembinaan negara berkenaan.

Anugerah itu diterima oleh menantu Tun Abdullah yang juga bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Terdahulu Osmani turut melawat Masjid Negara dan Muzium Kesenian Islam Malaysia, yang menyerlahkan kepentingan aspek budaya dalam penglibatan Kosovo dengan Malaysia.

Semasa lawatan muzium, beliau meneroka pameran bertajuk "Samudera Berbicara: Pembentukan Dunia Melayu Islam” yang menonjolkan penyebaran ajaran Islam merentasi maritim Asia Tenggara dan kesan budaya serta tamadunnya ke atas Kepulauan Melayu.

Masjid Negara kekal sebagai simbol utama identiti agama dan kebangsaan Malaysia, manakala Muzium Kesenian Islam Malaysia yang ditubuhkan pada 1998, adalah muzium terbesar seumpamanya di Asia Tenggara.

Program kebudayaan tersebut menyerlahkan sebahagian daripada agenda meluas Presiden Kosovo itu untuk mengukuhkan hubungan dua hala, termasuk pembukaan rasmi Kedutaan Kosovo di Kuala Lumpur dan perbincangan peringkat tinggi dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Dalam sidang media bersama pada Jumaat, kedua-dua negara bersetuju untuk memperdalam kerjasama dalam bidang utama seperti perdagangan, pendidikan, pelancongan dan kebudayaan, di samping meningkatkan hubungan rakyat melalui pertukaran pelajar dan perkongsian universiti.

Malaysia secara rasmi mengiktiraf Kosovo pada 30 Okt 2008, menjadi antara negara Asia yang awal berbuat demikian. Hubungan diplomatik telah terjalin secara rasmi pada 18 Mac 2011.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan