TUARAN, 3 Mei (Bernama) -- Kerajaan Sabah mengulangi komitmen untuk memperluas Geopark Global UNESCO Kinabalu (KUGGP) dan Rizab Biosfera Crocker Range sebagai sebahagian daripada matlamat pembangunan lestari di bawah Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata usaha itu selaras dengan kedudukan Sabah sebagai satu daripada tiga lokasi di dunia yang menerima pengiktirafan berprestij "Triple Crown of UNESCO".
"Ini bukan sahaja satu penghormatan, tetapi juga satu tanggungjawab besar. Kita mesti memperkukuh asas saintifik, meningkatkan kesedaran awam, dan memelihara kelestarian sumber asli kita," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Hajiji melancarkan perundingan pihak berkepentingan dan komuniti setempat serta ekspedisi saintifik bagi memperluas KUGGP dan rizab biosfera berkenaan di Linangkit Cultural Village di sini.
Ketua Menteri itu berkata cadangan memperluas KUGGP ke daerah Tuaran menerima sokongan penuh kerajaan negeri, dengan mengambil kira kekayaan biodiversiti dan potensi besar ekopelancongan di kawasan berkenaan.
Beliau berkata perancangan giat dijalankan untuk menubuhkan Pusat Kesedaran Awam atau galeri maklumat di Tuaran bagi memenuhi kriteria UNESCO yang bakal berfungsi sebagai platform pendidikan kepada komuniti setempat.
Hajiji menegaskan bahawa pembangunan taman geologi bukan tertumpu kepada sains dan pemuliharaan semata-mata malah turut merangkumi pemerkasaan ekonomi melalui pelancongan berasaskan geowarisan.
"Kerajaan negeri juga akan menjalankan ekspedisi saintifik tambahan di kawasan Crocker Range, merangkumi daerah Ranau dan Tuaran.
"Ekspedisi Saintifik Geo-Sulaman (EGOS 2025) yang siap baru-baru ini, akan menyediakan data asas bagi pembangunan pelan pengurusan dan bahan pendidikan berkaitan peluasan taman geologi," katanya.
Inisiatif berkenaan mendapat sokongan daripada pelbagai pihak berkepentingan, termasuk agensi kerajaan, penyelidik, wakil komuniti setempat, dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial