KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Kejayaan Malaysia meningkatkan kedudukan dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2025 yang dikeluarkan oleh Reporters Without Borders (RSF) dengan melonjak 19 anak tangga mencerminkan pengiktirafan antarabangsa terhadap usaha penubuhan Majlis Media Malaysia.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata Akta Majlis Media Malaysia yang telah diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara tahun ini merupakan langkah untuk menggalakkan kewartawanan yang bebas, bertanggungjawab dan profesional.
“Mengimbangi kebebasan bersuara dengan usaha memelihara keharmonian sosial dalam masyarakat majmuk dan berbilang agama seperti Malaysia bukanlah sesuatu yang mudah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Susulan peningkatan ini, Malaysia kini berada di kedudukan ke-88, kedua tertinggi di ASEAN, di belakang Thailand yang berada di kedudukan ke-85.
Beliau berkata seperti yang dinyatakan dalam laporan RSF, platform dalam talian turut membebankan ruang informasi dengan menyumbang kepada penyebaran kandungan yang dimanipulasi dan mengelirukan, serta memperhebat penularan maklumat palsu.
Teo berkata menurut laporan RSF 2025, purata skor kebebasan media global telah jatuh di bawah 55 mata buat kali pertama, yang mengklasifikasikan keadaan keseluruhan sebagai "sukar".
Beliau berkata lebih separuh daripada negara di dunia kini berada dalam kategori “sukar” atau “sangat serius” bagi pengamal kewartawanan, namun di sebalik kemerosotan global ini, Malaysia mencatat peningkatan positif.
"Walaupun kami sedar masih banyak lagi yang perlu dilakukan, peningkatan yang dicapai tahun ini membuktikan bahawa Malaysia boleh bergerak lebih maju.
"Kementerian dan saya komited untuk terus berusaha ke arah memastikan kebebasan media dan tanggungjawab sosial boleh bergerak seiringan serta kepelbagaian pendapat terus didengari juga dihormati di negara ini," katanya.
Beliau berkata Malaysia telah mengambil langkah untuk memodenkan undang-undang berkaitan termasuk pindaan yang dilakukan pada 2024 terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperjelas beberapa istilah penting termasuk penegasan bahawa kandungan dalam bentuk sindiran, parodi, atau fiksyen yang jelas tidak dikira sebagai maklumat palsu.
"Ini merupakan antara langkah bermakna bagi melindungi kebebasan berkarya dan komen yang sah dalam landskap unik negara kita," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial