KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Projek pembangunan semula Residensi Kecapi di Sentul yang tertangguh hampir sedekad akibat pelbagai cabaran, kini siap sepenuhnya dan bakal memberi manfaat kepada penduduk asal yang sekian lama menunggu penyelesaian yang adil.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata seramai 136 pemilik asal dan waris yang sah, akhirnya dapat menarik nafas lega apabila akan menerima unit kediaman masing-masing pada harga RM42,000 seunit, jauh lebih rendah berbanding harga pasaran semasa yang mencecah RM200,000.
“Ini merupakan bukti bahawa kerajaan sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah.
“Lebih penting daripada itu ialah komitmen terhadap ketelusan dan keadilan. Pasukan audit khas yang melibatkan JWP (Jabatan Wilayah Persekutuan), DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) dan pihak pemaju sendiri, telah turun padang bagi menyemak status pemilik asal dan waris yang sah,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Dr Zaliha merasmikan Residensi Kecapi, Sentul yang berlangsung pagi tadi, sekali gus menandakan projek berkenaan siap sepenuhnya.
Dalam majlis sama, beliau turut melancarkan Program Bintang Cemerlang 2.0, sebuah inisiatif tanggungjawab sosial korporat hasil kerjasama antara YTL dan Universiti UCSI, yang memberi tumpuan kepada murid yang tercicir akibat pandemik khususnya dalam pemulihan kemahiran asas membaca, menulis dan mengira di 23 sekolah rendah sekitar kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Sentul.
Dr Zaliha berkata usaha itu selari dengan inisiatif Ilmu @ PUJI yang sedang dilaksanakan di Wilayah Persekutuan, bertujuan memastikan tiada kelompok yang terpinggir daripada peluang pendidikan berkualiti.
Beliau turut mengalu-alukan lebih banyak penyertaan daripada rakan-rakan industri, untuk turut sama menyumbang dalam usaha membina masyarakat yang lebih sejahtera melalui program sosial berimpak tinggi.
“Tanggungjawab membangunkan kota ini bukan hanya di bahu kerajaan, tetapi perlu digalas bersama oleh semua pihak yang peduli. Kita tidak membina kota ini hanya untuk menjadi tempat tinggal, tetapi sebagai lambang kebersamaan dan penghargaan kepada setiap lapisan masyarakat.
“Kita juga tidak merancang masa depan hanya untuk segelintir, tetapi untuk seluruh warga yang memerlukan. Inilah roh sebenar MADANI yang kita perjuangkan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial