AM > BERITA

Fokus Strategik Untuk Bangunkan Bakat Tempatan Dalam ADR Di Sabah, Sarawak - Fadillah

05/05/2025 12:59 PM

KUCHING, 5 Mei (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menggesa supaya fokus strategik digerakkan kearah usaha membangunkan bakat tempatan bagi menguasai kaedah penyelesaian pertikaian alternatif (ADR) di Sabah dan Sarawak, untuk meletakkan rantau ini sebagai hab semula jadi kerjasama undang-undang dan komersial.

Dalam ucapan perasmiannya pada Minggu ADR Borneo 2025 (BAW2025) di sini hari ini, beliau turut menekankan kepentingan memperkukuhkan perkongsian rentas sempadan bagi memenuhi kerumitan undang-undang dan ekonomi yang semakin meningkat di rantau ini.

“Memupuk bakat bukanlah suatu usaha bersendirian, ia memerlukan kerjasama merentas kerajaan, industri, akademia dan institusi profesional.

“Kita perlu bekerjasama untuk memupuk kumpulan penimbang tara, pakar adjudikasi, pengantara, saksi pakar dan perunding tuntutan yang mahir secara teknikal dan amat memahami nilai dan konteks Borneo,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata usaha memupuk kerjasama yang lebih mendalam di seluruh Borneo, termasuklah mewujudkan rangka kerja jangka panjang untuk kerjasama antara institusi timbang tara, mahkamah, universiti dan industri.

Beliau berkata dengan perkembangan Nusantara di Indonesia, peningkatan penglibatan Brunei dan pertumbuhan pesat ekonomi Sabah dan Sarawak, Borneo muncul sebagai pemain utama dalam masa depan ASEAN.

“Dengan peningkatan integrasi Borneo ke dalam aliran pelaburan dan perdagangan rentas sempadan, ekosistem kita mesti bersedia bukan sahaja untuk memenuhi keperluan tempatan, tetapi juga untuk menarik keyakinan daripada pihak berkepentingan antarabangsa,” katanya. 

BAW2025 yang berlangsung mulai hari ini hingga 9 Mei menampilkan lebih 15 acara, membabitkan penyertaan pelbagai entiti termasuk institusi, firma guaman, perunding dan badan-badan latihan.

Ia berfungsi sebagai platform untuk meneroka keberkesanan penyelesaian pertikaian dalam menggalakkan pertumbuhan ekonomi, tadbir urus yang baik, dan kerjasama serantau.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan