AM > BERITA

KDN Selesai Lebih Separuh Daripada 12,101 Permohonan Pengenalan Diri Pelajar

05/05/2025 08:32 PM

PORT DICKSON, 5 Mei (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menyelesaikan 6,903 daripada 12,101 isu dokumen pengenalan diri membabitkan pelajar yang berada dalam sistem pendidikan arus perdana di seluruh negara setakat ini.

Menteri berkenaan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata KDN sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendaftaran Negara berhubung perkara itu selain menjangka menyelesaikan bakinya pada Jun ini.

“Dasar kita jelas, mereka ini kita akan permudahkan untuk memiliki dokumen pengenalan diri, mereka lahir di sini, kadang-kadang mereka anak di pusat jagaan, anak angkat dan sebagainya... walau apapun status mereka, komitmen KDN adalah membantu mereka seiring semangat Malaysia MADANI.

“Perlu kita tekankan komitmen KDN untuk bantu mereka setelah mereka lengkapkan semua proses tapisan. Jangan libatkan dokumen palsu. Mereka menunggu lama (untuk dapatkan kad pengenalan) kerana pelbagai kekangan,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan dokumen pengenalan diri (MyKad) kepada Nurul Arini Abdullah,18, di sini hari ini.

Beliau berkata daripada jumlah 12,101 itu, Sabah merekodkan angka tertinggi bagi permintaan untuk kad pengenalan membabitkan 6,997 pelajar manakala Perlis terendah dengan 50 permohonan.

Saifuddin Nasution berkata KDN sentiasa komited menyelesaikan isu kewarganegaraan termasuk pindaan terhadap Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964 yang akan dilakukan tidak lama lagi bagi menambah baik perkara berkaitan.

Beliau sebelum ini memberi jaminan bahawa KDN akan menyelesaikan isu dokumen pengenalan diri membabitkan sejumlah pelajar dalam tempoh antara enam hingga 12 bulan dan bekerjasama dengan KPM serta agensi terlibat.

Selain menyerahkan MyKad kepada Nurul Arini, Saifuddin Nasution menyampaikan bantuan komputer riba, pencetak dan kemudahan WiFi secara percuma selama dua tahun kepada pelajar cemerlang itu, yang meraih keputusan 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2024, di rumahnya.

Nurul Arini berkata beliau bersyukur selepas permohonannya yang dibuat beberapa kali sejak berumur 12 tahun untuk mendapatkan kad pengenalan akhirnya berjaya.

“Saya merupakan anak angkat kepada ibu Nurini Basir, 61, dan baru-baru ini, saya telah memohon untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan melalui UPUonline namun ditolak kerana tidak memenuhi kriteria selain bukan warganegara.

“Jadi lepas dapat kad pengenalan ini, saya akan segera memohon kembali jurusan yang saya minat itu, susah tak ada kad pengenalan, kos belajar dan sebagainya juga adalah tinggi,” katanya yang bercita-cita menjadi doktor.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan