AM > BERITA

Kadar Bekerja Graduan UMK Cecah 97.2 Peratus - Naib Canselor

05/05/2025 09:45 PM

BACHOK, 5 Mei (Bernama) -- Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mencatatkan Kadar Bekerja Graduan (GE) sebanyak 97.2 peratus pada tahun lepas berbanding 94.5 peratus pada 2023.

Naib Canselornya Prof Dr Arham Abdullah berkata Kadar Kebolehpasaran Graduan (GM) pula direkodkan sebanyak 96.7 peratus dalam tempoh sama.

“Peningkatan ini membuktikan UMK berjaya melahirkan graduan cemerlang dan menepati kehendak industri.

“Peningkatan GE dan GM sentiasa menjadi keutamaan universiti, dan hasilnya sejak 2019 dan 2020 telah menunjukkan peningkatan melebihi 90 peratus secara berturut-turut, berbanding hanya 58 peratus pada 2017,” katanya selepas berucap pada Istiadat Pemasyhuran Pro-Canselor dan Konvokesyen UMK Ke-14 di sini hari ini.

Arham berkata sepanjang tahun lepas, UMK turut melakar beberapa pencapaian utama, termasuk berada pada kedudukan 401–600 dalam penarafan Global Impact Rankings 2024.

Arham berkata di peringkat Asia pula, UMK menduduki tangga 501–600 menerusi penarafan World University Rankings Asia 2024 sekali gus menempatkan UMK sebaris universiti bertaraf dunia di benua itu.

“UMK juga buat kali pertama tersenarai dalam kelompok lima terbaik di Malaysia menerusi penarafan ‘The Interdisciplinary Science Rankings 2025’ pada posisi 201–250.

“Selain itu, UMK turut menerima anugerah berprestij Pilihan Majikan 2025 melalui inisiatif Indeks Kebolehpasaran Siswazah Kebangsaan Talentbank 2025,” katanya.

Terdahulu, beliau memaklumkan seramai 3,014 graduan menerima ijazah pada istiadat konvokesyen tersebut, melibatkan 53 graduan Ijazah Doktor Falsafah, empat graduan Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA), 139 Ijazah Sarjana dan 2,818 Ijazah Sarjana Muda, termasuk 59 graduan antarabangsa dari lapan negara.

Sehingga kini, UMK telah melahirkan seramai 23,677 siswazah sejak 18 tahun beroperasi.

– BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan