AM > BERITA

34 Cawangan Gloria Jean’s Coffees Terima Sijil Halal JAKIM

06/05/2025 10:22 AM

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) melalui anak syarikatnya Wonderful Lifestyle Sdn Bhd meraikan kejayaan 34 cawangan Gloria Jean’s Coffees (GJC) yang menerima pengiktirafan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Pernas dalam kenyataan memaklumkan penyampaian Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) kepada 34 cawangan GJC itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pernas Datuk Nor Azam M Taib dalam satu majlis yang diadakan hari ini.

Nor Azam dalam ucapannya menzahirkan rasa bangga atas pencapaian itu yang merupakan satu langkah penting dalam memperkukuhkan lagi keyakinan pengguna terhadap produk dan perkhidmatan francais tempatan.

“Pensijilan halal bukan sekadar memenuhi keperluan pasaran, ia adalah lambang integriti, disiplin dan komitmen dalam menyampaikan produk yang bersih dan berkualiti kepada pelanggan.

“Kejayaan ini adalah hasil kolaborasi erat antara pihak pengurusan Gloria Jean’s Coffees dan bimbingan daripada JAKIM serta sokongan berterusan daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP),” katanya.

Menurut kenyataan itu pensijilan rasmi oleh JAKIM merupakan pengiktirafan terhadap pelaksanaan sistem halal yang menyeluruh, merangkumi dokumentasi, proses operasi dan pemantauan yang ketat.

Komitmen ini bukan sahaja memperkukuhkan keyakinan pengguna terhadap jenama malah turut meletakkan GJC setanding dengan rangkaian francais kopi terkenal lain yang menitikberatkan pematuhan halal dalam operasi mereka.

“Sebagai badan pensijilan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, proses mendapatkan SPHM oleh JAKIM adalah teliti dan menyeluruh.

“Melalui komitmen tinggi daripada pihak pengurusan GJC, kerjasama erat bersama francaisi serta pihak JAKIM, kesemua 34 cawangan berjaya memenuhi keperluan pensijilan dengan cemerlang,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan projek pematuhan Pensijilan Halal Malaysia ini bermula pada 14 Ogos 2024 dan melibatkan pelaksanaan standard operasi halal secara menyeluruh di 34 cawangan GJC di seluruh Malaysia.

Inisiatif ini turut menerima sokongan dana melalui bantuan geran pematuhan Pensijilan Halal Malaysia daripada KUSKOP.

Menurut kenyataan itu, Pernas sebagai agensi di bawah KUSKOP akan terus komited membantu memperkasakan usahawan francais di Malaysia untuk menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa dengan membawa jenama yang diyakini serta berkualiti.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan