AM > BERITA

Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN Campur Tiga Bincang Hala Tuju Dan Kerjasama Lanjutan

06/05/2025 01:25 PM

Daripada Aisha Hani Nor Azmir

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Mei (Bernama) -- Mesyuarat ke-8 Pegawai Kanan ASEAN Campur Tiga yang Bertanggungjawab Terhadap Maklumat (8th SOMRI+3), memulakan mesyuarat mereka pada hari kedua Mesyuarat Pegawai Kanan Bertanggungjawab Terhadap Maklumat (SOMRI) ke-22 dan Mesyuarat Berkaitan di sini, pada Selasa.

Sesi itu dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Brunei selaku Pengerusi SOMRI, diikuti Jepun selaku Pengerusi Campur Tiga, yang mengalu-alukan kehadiran delegasi dan menyatakan harapan agar kerjasama melalui mekanisme ASEAN Campur Tiga dapat diperkukuh dan membuahkan hasil yang lebih baik.

Mesyuarat itu antara lain membincangkan perkara berkaitan Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga ke-27, yang telah diadakan di Vientiane, Laos, tahun lepas.

Delegasi Malaysia diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Turut serta ialah Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Komuniti, Jabatan Penerangan (JaPen) Muhammad Najmi Mustapha dan Ketua Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Norhani Mohamad Adzhar.

Delegasi turut disertai Pengarah II MCMC (ASEAN dan Dua Hala) Fatin Nabiha Ab Aziz, Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama Mohd Shukri Ishak, Timbalan Pengarah Seksyen Dasar dan Penyelidikan RTM Reza Shahriman Othman, serta pegawai kanan lain daripada Kementerian Komunikasi dan agensinya.

Sesi itu kemudiannya diteruskan dengan Mesyuarat ke-5 Pegawai Kanan ASEAN yang Bertanggungjawab Terhadap Maklumat Campur Jepun, yang dipengerusikan bersama oleh Brunei dan Jepun.

Pada mesyuarat itu, Jepun sekali lagi menyatakan komitmennya untuk menyokong pembangunan ASEAN melalui peningkatan keterhubungan, pemusatan dan perpaduan menerusi kerjasama berterusan dalam bidang maklumat dan media, termasuk pembinaan kapasiti, penerbitan bersama serta perkongsian strategik di bawah Rancangan Strategik ASEAN untuk Maklumat dan Media serta kerangka ASEAN Campur Tiga.

Ketua Setiausaha Hal Ehwal Antarabangsa, Biro Strategi Global, Kementerian Dalam Negeri dan Komunikasi Jepun Nomura Eigo, turut menyatakan harapan agar kerjasama antara kedua-dua pihak dapat diperkukuh, termasuk dalam sektor maklumat dan penyiaran.

Sementara itu, Singapura selaku negara penyelaras bagi Jepun membentangkan kemas kini mengenai status kerjasama lepas dan yang sedang berlangsung, serta mencadangkan bentuk kerjasama masa depan antara Negara Anggota ASEAN dan Jepun dalam bidang maklumat dan media.

Dokumen berkaitan daripada mesyuarat peringkat SOMRI akan dibentangkan dalam Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Bertanggungjawab terhadap Maklumat (AMRI).

Mesyuarat SOMRI selama dua hari berakhir hari ini. Mesyuarat AMRI akan bermula esok dengan kehadiran menteri-menteri ASEAN yang bertanggungjawab terhadap maklumat.

Delegasi Malaysia ke mesyuarat AMRI akan diketuai Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Dengan tema MAJU-Media Advancing Joint Understanding: Transforming Media’s Role in Advancing Cooperation and Mutual Understanding in ASEAN,” mesyuarat SOMRI bertujuan untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam penyiaran, media dan kandungan digital, serta menyokong inisiatif yang memupuk identiti ASEAN dan integrasi serantau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan