Daripada Nurliyana Farhah Ruslan
MAKKAH, 6 Mei (Bernama) -- Jemaah haji Malaysia bagi musim 1446H/2025M diminta memaklumkan kepada petugas Tabung Haji (TH) sekiranya berlaku kehilangan Kad Nusuk untuk membolehkan tindakan segera diambil.
Ketua Rombongan Haji Malaysia Mohd Hisham Harun berkata sebagai langkah bantuan, TH akan mengeluarkan kad pengenalan sementara serta salinan visa haji bagi memudahkan urusan pergerakan dan ibadah jemaah di Tanah Suci.
“Pengenalan diri sementara seperti salinan visa haji akan diberikan untuk digunakan jemaah haji ketika ke masjid atau berada di luar kawasan hotel atau maktab,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat TH di sini.
Beliau menegaskan hanya jemaah memiliki visa haji yang sah dibenarkan memasuki kawasan Makkah dan Masjidil Haram, dengan pemeriksaan akan dilakukan oleh pihak berkuasa Arab Saudi di beberapa pos kawalan ditetapkan.
“Sehubungan itu, jemaah haji diingatkan agar sentiasa membawa bersama Kad Nusuk khususnya ketika keluar dari kawasan penginapan atau semasa menuju ke Masjidil Haram bagi mengelakkan sebarang kesulitan,” katanya.
Sementara itu, Mohd Hisham berkata Malaysia mencatat sejarah sebagai negara pertama berjaya mengedarkan Kad Nusuk kepada jemaah haji di tanah air, seawal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hasil kerjasama strategik antara TH, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi serta syarikat pengendali Mashariq Holdings (Mashariq).
Beliau berkata inisiatif itu membolehkan jemaah Malaysia memulakan perjalanan haji mereka dengan lebih teratur dan lancar.
“Bagi jemaah yang belum menerima Kad Nusuk, jangan bimbang kerana kad tersebut akan diedarkan di Makkah selepas proses pencetakan selesai. TH bersama pihak Mashariq kini sedang mengenal pasti jemaah yang masih belum menerimanya,” katanya.
Beliau turut mengingatkan semua jemaah haji Malaysia untuk sentiasa mematuhi segala peraturan dan arahan ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi demi kelancaran keseluruhan operasi haji musim ini.
Kad Nusuk yang diperkenalkan Arab Saudi sejak tiga tahun lepas berperanan sebagai dokumen rasmi pengenalan diri yang membantu memudahkan jemaah haji dari seluruh dunia untuk memasuki Masjidil Haram di Makkah, Masjid Nabawi di Madinah serta tempat-tempat ibadah haji lain ketika mengerjakan Rukun Islam kelima itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial