KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Malaysia melakar sejarah apabila memperkenalkan protokol Sijil Pemuliharaan Hutan (FCC) kepada dunia menerusi penyertaan dalam ESG Xchange 2025 di Hong Kong yang berlangsung dua hari mulai hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Forest Fund (MFF) Datuk Mohamed Shah Redza Hussain berkata FCC berperanan sebagai instrumen pemuliharaan hutan yang menepati piawaian global sekali gus membuka potensi Malaysia diiktiraf sebagai negara kedua memenuhi Artikel 6.8 Perjanjian Paris, selepas Costa Rica.
Beliau berkata lebih 80 tapak di seluruh negara telah dikenal pasti sebagai lokasi pemuliharaan dengan 16 antaranya dinilai bagi projek FCC.
"Matlamat Malaysia menerusi penyertaan dalam ESG Xchange 2025 ini ialah menarik pelabur ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) antarabangsa untuk menyokong pemuliharaan hutan melalui kerangka FCC kita.
“Berbeza dengan mekanisme perdagangan karbon, FCC membolehkan perniagaan dan kerajaan melabur secara langsung dalam projek pemuliharaan, menjadikan ia model pembiayaan yang mematuhi ESG serta menyumbang kepada matlamat kelestarian global," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucap tama bertajuk 'A Sharing on the Development of the National Conservation and Carbon Ecosystem by Malaysia Forest Fund - How Corporations can benefit' yang dihadiri lebih 1,000 delegasi di persidangan ESG Xchange 2025 pada Selasa.
Shah Redza berkata penyertaan MFF selaku agensi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) selari dengan peranannya sebagai National Focal Point Malaysia bagi Artikel 6.8 Perjanjian Paris untuk memacu pembiayaan pemuliharaan hutan serta inisiatif alam sekitar mampan bertaraf antarabangsa.
"Pada masa sama, kita juga mengambil peluang ini untuk mempromosi protokol FCC Malaysia bagi diiktiraf di peringkat global kerana kriteria Artikel 6.8 Perjanjian Paris menetapkan sekurang-kurangnya satu negara lain perlu menerima pakai protokol FCC kita sebagai standard pemuliharaan mereka.
"Ini antara misi utama kita di Hong Kong, dengan harapan instrumen tersebut diterima sebagai model pemuliharaan yang boleh diguna dalam sistem ESG,” katanya.
Beliau berkata pengiktirafan menerusi Artikel 6.8 akan membolehkan Malaysia memperoleh pembiayaan antarabangsa bagi projek pemuliharaan hutan sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada dana kerajaan dan membolehkan pelaksanaan projek pemulihan serta pemeliharaan hutan secara lebih mampan dan menyeluruh.
Selain FCC, Shah Redza berkata Malaysia menerusi MFF turut dalam peringkat memuktamadkan pembangunan standard nasional bagi Forest Carbon Offset (FCO) yang dijangka siap menjelang akhir tahun ini dengan pelaksanaan penuh dirancang bermula tahun hadapan.
ESG Xchange 2025 menarik penyertaan lebih 2,000 peserta dari 10 negara termasuk organisasi kewangan dan pelaburan, wakil kerajaan China, kedutaan antarabangsa dan institusi pakar kelestarian global.
ESG Xchange 2025 berfungsi sebagai platform utama bagi penggubal dasar, pemimpin korporat, pelabur dan pakar kelestarian untuk membincangkan standard ESG, pembiayaan serta kerjasama strategik sekali gus membentuk masa depan ESG dalam menggalakkan kerjasama antarabangsa dan mempercepat peralihan ke arah ekonomi global yang lebih lestari.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial