AM > BERITA

Jemaah Haji Kelantan Perlu Kekalkan Disiplin Tinggi - Menteri Besar

07/05/2025 10:49 AM

KOTA BHARU, 7 Mei (Bernama) -- Jemaah haji dari Kelantan disaran mengekalkan tahap disiplin tinggi dan mematuhi segala peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi demi memelihara hubungan baik antara kedua-dua negara.

Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata para jemaah perlu menghormati undang-undang negara tuan rumah dan mengelakkan diri daripada terlibat dalam sebarang aktiviti yang menyalahi peraturan, termasuk menunaikan ibadah haji tanpa visa yang sah.

“Tindakan cuba menunaikan haji tanpa visa sah bukan sahaja melanggar undang-undang Arab Saudi, malah boleh mendatangkan kesulitan besar kepada diri sendiri termasuk berdepan denda berat, dihantar pulang serta disenarai hitam daripada memasuki Arab Saudi untuk tempoh yang lama,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelepasan Jemaah Haji Kelantan ke Tanah Suci di sini malam tadi.

Mohd Nassuruddin berkata para jemaah juga perlu menjadi ejen penyebar maklumat dengan membantu pihak kerajaan meningkatkan kesedaran dalam kalangan ahli keluarga, saudara-mara dan kenalan agar mematuhi undang-undang serta tidak terpedaya dengan mana-mana tawaran pakej haji yang mencurigakan.

Beliau berkata aspek kebersihan dan penjagaan kesihatan diri juga perlu diberi keutamaan sepanjang berada di Tanah Suci memandangkan cuaca yang panas serta perhimpunan besar umat Islam dari seluruh dunia.

Sementara itu, Pengarah Wilayah Timur Lembaga Tabung Haji Khairoddin Ahmad berkata penerbangan jemaah Kelantan adalah yang ke-25 daripada keseluruhan 100 penerbangan sewa khas bagi musim Haji 1446H/2025M, yang membawa 31,600 jemaah haji Malaysia.

Beliau berkata lebih 6,000 jemaah dari Malaysia kini telah berada di Tanah Suci dan jemaah dari Kelantan akan digabungkan dengan 142 jemaah dari Kedah, menjadikan jumlah keseluruhan 284 orang.

“Mereka akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menaiki pesawat MH8078 dan dijangka tiba di Madinah pada 7.50 pagi waktu tempatan pada hari sama,” katanya.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan