AM > BERITA

MaCoS Buka Dimensi Baharu Rasuah, Bantu SPRM Tangani Risiko Lebih Menyeluruh

08/05/2025 12:29 AM

PUTRAJAYA, 7 Mei (Bernama) -- Laporan operasi dan dapatan Kajian Mengenai Rasuah di Malaysia (MaCoS) bagi Modul Penduduk telah dibentangkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan pasukan perunding, sekali gus membuka dimensi baharu dalam memahami cabaran rasuah di negara ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Azmi Kamaruzaman berkata kajian komprehensif itu memberi tumpuan kepada pengalaman penduduk ketika berurusan dengan sektor awam dan swasta, serta pelbagai aspek lain yang berkaitan dengan amalan rasuah.

“Melalui kajian ini, SPRM dapat mengenal pasti kumpulan penduduk berisiko, jenis penjawat awam dan pekerja swasta yang terlibat, prosedur pentadbiran yang cenderung kepada rasuah, jenis rasuah yang diminta, serta sebab dan akibat menerima atau menolak rasuah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kajian tersebut turut mengukur tahap kesedaran, pengetahuan dan pandangan masyarakat terhadap isu rasuah, seterusnya memberi gambaran menyeluruh kepada SPRM dalam merangka strategi pencegahan yang lebih berkesan.

Laporan berkenaan telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Kajian MaCoS Bilangan 2 Tahun 2025 di Ibu Pejabat SPRM semalam, yang turut disertai oleh beberapa agensi penting dan tokoh akademik.

Dalam mesyuarat itu, DOSM menyampaikan laporan operasi manakala dapatan kajian dibentangkan oleh pasukan perunding dari UKM Pakarunding Sdn Bhd. Antara yang hadir ialah Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM Datuk Nazli Rasyid Sulong, Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi SPRM Lim Bee Kean dan Timbalan Ketua Perangkawan Program Sosial dan Pembangunan Teknikal DOSM Nazaria Baharudin.

Turut serta ialah Ketua Unit Integriti dan Ombudsman Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Tengku Elmi Azlina Tengku Muda.

Kajian MaCoS yang melibatkan 15,000 responden telah dilaksanakan dari 1 Mac hingga 14 Jun tahun lepas.

Dalam pada itu, Azmi berkata pelaksanaan kajian itu merupakan antara inisiatif utama SPRM dalam usaha meningkatkan kedudukan Malaysia ke tangga ke-25 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang 2033, selari dengan penanda aras keenam kerangka Ekonomi MADANI.

“Dapatan berdasarkan pengalaman sebenar rakyat ini diharap dapat melengkapkan data CPI yang selama ini hanya bersandarkan persepsi masyarakat terhadap rasuah,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan