AM > BERITA

Sokong Deklarasi Kuala Lumpur Mengenai Penggunaan Media Sosial Bukti ASEAN Sepakat Depani Cabaran - Pakar

08/05/2025 09:40 PM

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Sokongan negara serantau terhadap “Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Penggunaan Selamat dan Bertanggungjawab Platform Media Sosial untuk ASEAN” membuktikan komitmen ke arah mendepani pelbagai cabaran pada era perkembangan teknologi maklumat serta kecerdasan buatan (AI).

Penganalisis Keselamatan dan Politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata deklarasi itu juga mencerminkan kesediaan rantau ini menghadapi cabaran keselamatan digital dengan pendekatan kolektif.

Beliau berkata deklarasi itu memberi fokus kepada ancaman kontemporari seperti penyebaran radikalisme, eksploitasi data, gangguan ekonomi mikro menerusi media sosial dan potensi monopoli oleh platform luar.

“Deklarasi ini menumpukan kepada keselamatan media sosial. Ini satu perkara yang perlu dilihat sebagai satu kemajuan pemikiran pemimpin-pemimpin ASEAN untuk membina satu tanda aras baharu dalam memperlihatkan hala tuju ASEAN dari aspek keselamatan media sosial.

“Perkara ini perlu dilihat sebagai satu pembaharuan pemikiran pemimpin ASEAN yang diterajui Malaysia,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Noor Nirwandy berkata deklarasi berkenaan juga jelas menekankan keperluan bagi ASEAN menjadi peneraju dan bukan sekadar pengguna dalam teknologi media sosial.

Beliau berkata selaras dengan deklarasi itu, negara-negara anggota wajar membangunkan aplikasi dan perisian yang mencerminkan nilai serta keperluan rantau ini untuk mengurangkan kebergantungan kepada platform luar serta membuka peluang pembangunan ekonomi digital domestik yang lebih saksama. 

"Malaysia harus melalui elemen itu dalam membuktikan bahawa negara ini mempunyai sistem keselamatan media sosial yang baik dan boleh diikuti negara ASEAN.

“Selain itu, perlu ada jawatankuasa ekonomi silang budaya dengan pakar akademik, penguasaan dan perang saraf di dalam ASEAN untuk memastikan ia mendominasi satu struktur baharu dan membolehkan rantau ini membina identiti media sosial tersendiri," katanya.

Sementara itu, Penganalisis Keselamatan Siber Yayasan Digital Malaysia Mohammad Ezaly Iman Ramli berkata deklarasi berkenaan dilihat sebagai langkah proaktif yang perlu diberi penekanan memandangkan peningkatan kes di media sosial yang memberi kesan buruk kepada beberapa pihak.

"Jenayah siber bukan sekadar menaip komen di media sosial. Semoga deklarasi ini dapat dilaksanakan dengan baik sekali gus dasar yang tepat dapat dikuatkuasakan.

“Bagi memastikan kerjasama berterusan bagi memastikan usaha ini konsisten adalah perlu lebih banyak kesedaran dalam keselamatan siber,” katanya.

Semalam, Persidangan Menteri-Menteri ASEAN Bertanggungjawab Terhadap Maklumat (AMRI) ke-17 dan Mesyuarat Berkaitan di Bandar Seri Begawan berakhir dengan sokongan kukuh terhadap “Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Penggunaan Selamat dan Bertanggungjawab Platform Media Sosial untuk ASEAN”.

Dalam kenyataan media bersama yang dikeluarkan pada akhir persidangan, ASEAN mengulangi komitmen kolektifnya untuk memupuk persekitaran digital yang selamat, inklusif dan bertanggungjawab di seluruh rantau ini.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan