AM > BERITA

Aplikasi Air Selangor 2.0 Ditambah Baik, Aduan Kebocoran Paip Secara Digital

09/05/2025 12:20 AM

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Seramai 9.62 juta pengguna air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya kini boleh membuat aduan kebocoran paip secara digital menerusi aplikasi mudah alih Air Selangor 2.0 yang ditambah baik, bermula hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Adam Saffian Ghazali berkata usaha itu susulan pelancaran Kempen Bijak Air MADANI oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata aplikasi berkenaan kini dilengkapi ciri Laporan Kebocoran atau Report Leaks yang membolehkan pengguna melaporkan insiden paip bocor, paip pecah, meter rosak dan sambungan haram secara terus dalam masa nyata.

“Langkah ini bertujuan mengurangkan kadar Air Tidak Terhasil (NRW) serta memastikan pengurusan air yang lebih cekap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adam Saffian berkata aplikasi itu juga menyediakan fungsi pemantauan penggunaan air melalui penunjuk Liter per Kapita Sehari (LCD), sekali gus membolehkan pengguna menilai dan mengurus penggunaan air harian dengan lebih berkesan.

“Pengguna boleh membandingkan penggunaan mereka dengan penanda aras yang disyorkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) iaitu 160 liter sehari, serta menerima tip penjimatan air yang disesuaikan dengan profil isi rumah masing-masing,” katanya.

Beliau berkata Air Selangor terus melaksanakan pelbagai inisiatif digital sebagai sebahagian daripada komitmen lestari untuk mendidik dan membudayakan penggunaan air secara bijak dalam kalangan masyarakat.

Mengulas Kempen Bijak Air MADANI anjuran SPAN bersama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), beliau berkata ia adalah inisiatif nasional bagi memupuk budaya penggunaan air berhemat demi kelestarian bekalan jangka panjang.

Katanya sokongan Air Selangor terhadap kempen itu selaras dengan Memorandum Kerjasama (MoC) bersama Monsta Studios Sdn Bhd (Monsta) yang dimeterai pada April lepas bagi memperkukuh kesedaran penjimatan air dalam kalangan generasi muda.

“MoC selama tiga tahun bermula tahun ini hingga 2027 bertujuan melaksanakan lebih banyak program dan aktiviti kreatif yang melibatkan generasi muda bagi menyemai kesedaran pemuliharaan air sejak peringkat awal,” katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan