AM > BERITA

Perkhidmatan Tren Penumpang Laluan Pasir Gudang-Kempas Baru Akan Diperkenal - Loke

09/05/2025 02:56 PM

JOHOR BAHRU, 9 Mei (Bernama) -- Perkhidmatan tren penumpang bagi laluan Pasir Gudang-Kempas Baru akan diperkenalkan selewat-lewatnya tahun depan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata perkhidmatan berkenaan dijangka bermula dalam tempoh enam hingga 12 bulan dengan mengambil kira keperluan untuk membina stesen penumpang baharu di sepanjang jajaran berkenaan.

“Sepanjang laluan ini, sekurang-kurangnya kita boleh cari tiga lokasi (stesen) yang boleh kita ambil dan turunkan penumpang,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pembukaan Semula Landasan Untuk Operasi Perkhidmatan Kargo Bagi Laluan Kempas Baru-Pasir Gudang di sini hari ini.

Beliau berkata Kementerian Pengangkutan akan membuat kajian dan berbincang dengan Kerajaan Johor bagi mendapatkan lokasi stesen sesuai.

Loke berkata bagi peringkat awal, perhidmatan penumpang berkenaan akan menggunakan koc Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sedia ada dan pembelian koc baharu akan dipertimbangkan pada masa hadapan.

“Kita komited projek ini boleh dilaksanakan dengan cepat, jadi kita akan bincang dengan Kementerian Kewangan untuk dapatkan kelulusan dan kita gunakan sumber Perbadanan Aset Keretapi (RAC) untuk biaya projek ini,” katanya.

Sementara itu, Loke berkata laluan jajaran Pasir Gudang-Kempas Baru dibuka semula selepas ditutup sejak Oktober tahun lepas bagi kerja menaik taraf landasan sepanjang 39.9 kilometer dan meliputi tiga seksyen utama iaitu Kempas Baru-Seelong, Seelong-Pelabuhan Johor dan Pelabuhan Johor-Pasir Gudang.

Beliau berkata kerja-kerja menaik taraf melibatkan pembaikan struktur rel, pembinaan sistem perparitan baharu, penggantian trek dan batu kerikil, serta peningkatan sistem isyarat dan keselamatan dengan nilai keseluruhan projek RM55 juta.

“Dengan pembukaan semula landasan bagi operasi perkhidmatan kargo Pasir Gudang-Kempas Baru, KTMB akan meningkatkan pengendalian kontena daripada 140 unit kontena bersamaan 20 kaki (TEUs) sehari sebelum ini sekurang-kurangnya kepada 420 TEUs sehari iaitu peningkatan sebanyak tiga  kali ganda.

“KTMB sebelum ini hanya membuat dua trip sehari tetapi setelah pembukaan semula KTMB akan membuat larian keretapi kargo sekurang-kurangnya sebanyak enam trip sehari,” katanya.

Di samping itu, katanya pelanggan juga boleh meningkatkan aktiviti dalam urusan pemindahan kontena bukan sahaja dari Pelabuhan Pasir Gudang ke Pelabuhan Tanjung Pelepas, malah ke pelabuhan lain di Semenanjung Malaysia termasuk Pelabuhan Kuantan melalui laluan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kelak, Pelabuhan Klang, Pelabuhan Pulau Pinang sehinggalah keluar negara melalui Thailand dan ke China.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan