PUTRAJAYA, 9 Mei (Bernama) -- Mesyuarat Majlis Sosial Negara Bilangan 1/2025 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Khas Pendidikan Islam Prasekolah.
Ahmad Zahid dalam kenyataan di sini hari ini berkata jawatankuasa itu bertujuan menyelaras aspek pendaftaran, pembangunan kurikulum serta kebajikan guru-guru di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) untuk memastikan penyampaian pendidikan prasekolah yang berkualiti, selamat dan teratur.
"Mesyuarat hari ini menyentuh isu kritikal sosial negara termasuk penyelarasan institusi pendidikan prasekolah Islam dan perlindungan menyeluruh terhadap kanak-kanak rentan selain turut membincangkan strategi penyelesaian isu pendaftaran, kurikulum dan tenaga pengajar di PASTI," katanya.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata susulan itu, satu kertas cadangan akan diangkat kepada Jemaah Menteri mengenai pelan hala tuju pendidikan awal kanak-kanak yang lebih tersusun dan berpaksikan kualiti.
Beliau berkata mesyuarat turut bersetuju menubuhkan pasukan petugas bagi menangani kebejatan sosial dalam kalangan pelajar tercicir termasuk isu penyalahgunaan dadah dan cabaran sosial lain yang memerlukan tindakan rentas agensi yang segera dan bersasar.
Mengenai 560 kanak-kanak yang terkait dengan kumpulan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Ahmad Zahid berkata mesyuarat bersetuju untuk melaksanakan langkah penyelarasan bersepadu melibatkan pelbagai kementerian, agensi dan institusi agama negeri bagi memastikan kesejahteraan kesemua kanak-kanak yang telah diselamatkan itu.
Beliau berkata aspek pemantauan, perlindungan dan kebajikan kesemua kanak-kanak itu akan terus diperkukuh sejajar dengan hak mereka sebagai pewaris masa depan negara.
Kerajaan, menurut Ahmad Zahid, telah memperuntukkan sebanyak RM1.2 juta bagi menyokong program pembangunan jati diri, advokasi keibubapaan dan pemulihan spiritual yang komprehensif bagi kanak-kanak berkenaan.
Beliau berkata mesyuarat itu turut menyentuh mengenai keperluan untuk mewujudkan sistem penjagaan jangka panjang (LTC) bagi warga emas selaras dengan Teras 5 Kerangka Tindakan Penuaan Kebangsaan.
“Mesyuarat mengambil ketetapan bahawa langkah drastik perlu diambil untuk mengurangkan kebergantungan kepada sumber kewangan kerajaan melalui penstrukturan sistem sokongan sosial yang lebih mampan,” katanya.
Ahmad Zahid berkata dianggarkan 15 peratus rakyat Malaysia berumur 60 tahun ke atas menjelang 2030, dengan majoriti golongan itu tidak mempunyai perlindungan insurans.
Beliau berkata Majlis Sosial Negara bukan sekadar platform perbincangan dasar, sebaliknya ia merupakan wadah penyatuan seluruh kekuatan negara merangkumi kerajaan, agensi, sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat sivil.
“Inilah pendekatan whole-of-nation (keseluruhan negara) yang diperlukan untuk menangani cabaran sosial negara secara berani, inklusif dan mampan,” katanya.
Ahmad Zahid turut menyeru semua jentera kerajaan, NGO, sektor swasta serta masyarakat sivil untuk memperkukuh kerjasama, mengangkat agenda pembangunan sosial negara dan memacu kesejahteraan rakyat Malaysia secara menyeluruh.
“Hanya dengan kesatuan tindakan, keberanian membuat perubahan dan iltizam bersama, kita mampu membina Malaysia MADANI yang progresif, adil dan berdaya tahan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial