TAWAU, 9 Mei (Bernama) -- Pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung di reruai Kementerian Komunikasi sempena Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Sabah di Dataran Majlis Perbandaran Tawau di sini yang berlangsung dari hari ini hingga 11 Mei.
Antaranya permainan trivia dan kuiz oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama); promosi RTMKlik, temu mesra DJ RTM serta rangkuman video oleh RTM manakala Jabatan Penerangan (Japen) menampilkan aktiviti seperti edaran bahan penerbitan, buku digital Dbook, MyFoto dan Foto Boom.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) pula menganjurkan advokasi klik, kaunter aduan, Kempen Internet Selamat dan Advokasi Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) manakala Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS) membawa permainan VR Interaktif, tayangan promosi filem dan temu mesra artis jemputan.
Pengunjung juga berpeluang menonton tayangan video khas yang disediakan Bahagian Komunikasi Strategik dan Korporat (BKS) Kementerian Komunikasi, selain edaran cenderamata oleh Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM).
Dua pocket talk turut berlangsung di pentas mini Kementerian Komunikasi dengan hari ini oleh FINAS bertajuk “Hargai Kandungan Kreatif”, diikuti “Keselamatan Dalam Talian” oleh MCMC pada Ahad ini.
Sementara itu Penolong Pengurus Penjenamaan Bahagian Hal Ehwal Korporat Bernama Mohammad Suherman Anuar berkata PMR 2025 Sabah memberi peluang kepada pengunjung mengenali Kementerian Komunikasi dan agensinya termasuk Bernama, selain meningkatkan penjenamaan agensi berita itu di mata penduduk negeri ini.
“Pelbagai hadiah menarik juga menanti pengunjung menerusi pelbagai aktiviti di reruai ini. Ini satu peluang untuk orang ramai mengenali Bernama lebih dekat dan mendapat maklumat terkini daripada agensi serta jabatan Kementerian Komunikasi,’’ katanya kepada Bernama di sini.
Penyampai Radio SABAHfm Emran Azmie Rosle atau mesra dengan nama DJ Gimie berkata menerusi program itu RTM dapat menyampaikan pelbagai maklumat terkini antaranya mengenai aplikasi RTMKlik.
“Kami di RTM juga menawarkan pelbagai hadiah menarik menerusi permainan wheel spin bagi memeriahkan reruai Kementerian Komunikasi dan PMR 2025 Sabah,” katanya.
Siti Nurjannah Binwih, 16, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tawau berkata dia teruja dengan pengalaman mencuba pelbagai permainan dan kuiz yang disediakan di reruai kementerian itu.
"Permainan sangat menarik dan amat berinformasi. Saya juga suka dengan DJ RTM yang sangat ramah dan memberi peluang kepada kami untuk bergambar bersama," katanya.
Sementara itu, Mohd Safwan Damsah, 35, pengusaha kedai runcit di sini berkata beliau tertarik dengan maklumat keselamatan siber yang dikongsikan oleh MCMC dan maklumat itu amat berguna terutama dalam zaman digital kini.
"Sekarang ini banyak penipuan dalam talian. Saya dapat banyak tips berguna untuk melindungi diri dan perniagaan saya daripada ancaman siber. Program sebegini patut diadakan lebih kerap untuk memberi kesedaran kepada masyarakat," katanya yang turut membawa keluarganya ke program berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial