AM > BERITA

Majlis Kemuncak HAWANA 2025 Pada 14 Jun Di WTCKL - KPE Bernama

09/05/2025 06:29 PM

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Majlis Kemuncak Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 akan diadakan pada 14 Jun ini  di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), kata Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Beliau berkata majlis itu akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan anggaran kehadiran kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara.

"Kita sasarkan kehadiran 1,000 orang kerana kali ini kita mengadakannya di ibu negara iaitu Kuala Lumpur dan kita jangka semua media dapat hadir berbanding beberapa sambutan HAWANA sebelum ini yang diadakan di negeri-negeri, mungkin itu menyukarkan mereka untuk hadir.

"Kita turut menjemput rakan-rakan media dari negara ASEAN sempena Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN kali ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Penganjuran HAWANA 2025 di Wisma Bernama hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarang Bernama merangkap Pengarah Projek HAWANA 2025 Arul Rajoo Durar Raj dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Azlina Aziz.

Mesyuarat itu turut diadakan secara maya bersama pengurusan tertinggi media tempatan antaranya Radio Televisyen Malaysia (RTM), Astro Awani, Malaysia Gazette, Media Prima, Sarawak Tribune dan Kupi-Kupi FM.

Nur-ul Afida berkata HAWANA, yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan Bernama sebagai agensi pelaksana, akan menampilkan pelbagai acara termasuk majlis prapelancaran bersama rakan strategik di Wisma Bernama pada 3 Jun, forum media anjuran bersama Institut Akhbar Malaysia (MPI) pada 14 Jun serta program pantun dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 31 Mei.

Beliau berkata selain itu, karnival dan pameran HAWANA di pusat beli-belah Sunway Putra Mall di sini akan berlangsung pada 13 dan 14 Jun seperti sukan media yang menampilkan elemen tradisional selain siri jelajah ke Politeknik premier di Selangor, Perak serta Johor.

Nur-ul Afida berkata tema rasmi HAWANA 2025 masih dalam perbincangan dan akan diumum dalam masa terdekat manakala logo rasmi sambutan telah dipersetujui Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, yang dilancarkan ketika Majlis Prapelancaran HAWANA 2025.

Beliau berkata sebagai agensi pelaksana yang terus diberi kepercayaan menganjurkan HAWANA, Bernama akan menggembleng tenaga daripada pelbagai bahagian untuk menjayakan acara itu secara menyeluruh sekali gus memperkukuh peranannya dalam memperingati dan meraikan sumbangan wartawan serta pengamal media di Malaysia.

HAWANA, yang memasuki edisi kelima tahun ini selepas penganjuran kali pertama pada 2018, merupakan acara tahunan yang menghimpunkan pengamal media bagi menghargai peranan dan sumbangan mereka dalam pembangunan negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan