BATU PAHAT, 10 Mei (Bernama) -- Kejadian tiga ekor buaya ditangkap dalam tempoh seminggu ini membuatkan pekebun, penternak serta penduduk sekitar Kampung Parit Gantong di sini, diselubungi kebimbangan kemungkinan reptilia tersebut muncul lagi.
Penternak dan pekebun yang ditemui mengakui berasa terancam bukan sahaja pada diri malah terhadap haiwan ternakan mereka menyebabkan ada antara penduduk tidak berani untuk ke kebun terutama yang berdekatan Sungai Batu Pahat.
Penternak kambing, M Nazri Sadikin, 50, berkata seekor kambing miliknya telah menjadi mangsa selepas bangkai ternakan itu ditemui kira-kira 20 meter dari tebing sungai berkenaan baru-baru ini.
M Nazri berkata dia kini bersama kira-kira 20 pekebun dan seorang lagi penternak lembu, bimbang dengan kehadiran haiwan pemangsa itu yang bukan sahaja mengancam haiwan ternakan tetapi keselamatan mereka.
“Buaya di Sungai Batu Pahat ini sudah mula muncul sejak 2010 tetapi ketika itu penduduk sekitar tidak terlalu bimbang, cuma tiga tahun kebelakangan ini ia menjadi semakin kerap malah ada pekebun kelapa sawit yang sudah tidak ke kebun untuk memotong buah.
“Lebih membimbangkan apabila buaya kini sudah mula memasuki kawasan kediaman penduduk, seperti yang berlaku pada semalam (9 Mei) seekor anak buaya ditemui di bilik air di kediaman seorang penduduk,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Pekebun, Mohd Fitri Azizi Kasbola, 44, berkata semalam dia juga telah menemui seekor buaya betina bersama 53 biji telur reptilia itu di kawasan kebunnya, sebelum bertindak menghubungi Jabatan Pelindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
“Tindakan lanjut telah diambil oleh Perhilitan dengan mengambil telur dan menangkap buaya tersebut dianggarkan seberat 300 kilogram (kg),” katanya.
Sebelum ini, Komender Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penggaram Pegawai Bomba Kanan II Murad Paiman berkata seekor anak buaya sepanjang satu meter yang ditemui dalam bilik air kediaman seorang penduduk di Kampung Parit Gantung, Taman Nira berjaya ditangkap, semalam.
Pada Rabu lepas, pihak bomba dengan bantuan penduduk kampung juga telah turut menangkap seekor buaya seberat 410 kg di kampung sama sebelum haiwan itu diserahkan ke Jabatan Perhilitan untuk tindakan lanjut.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial