PASIR MAS, 10 Mei (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara telah merangka pelbagai gerak kerja komprehensif melalui pelancaran Flagship Kembara Perpaduan Malaysia MADANI yang berteraskan Rukun Negara, sebagai usaha berterusan menyatupadukan masyarakat majmuk di negara ini.
Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Mohamad Sobri Mat Daud berkata pelbagai program telah dan akan dilaksanakan oleh kementerian serta jabatan-jabatan berkaitan untuk memartabatkan perpaduan dalam segenap lapisan masyarakat.
“Tiga konsep utama yang diterapkan dalam setiap program kementerian adalah Faham, Hormat dan Terima. Semoga amalan ketiga-tiga konsep ini membuahkan lebih banyak momen perpaduan indah, sekali gus mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) Peringkat Negeri Kelantan 2025 di Dataran Bandar Bharu Pasir Mas, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Sobri berkata SMP merupakan inisiatif penyatupaduan berterusan yang bertujuan mendidik serta membentuk peribadi dan tingkah laku masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya, sejajar tema tahun ini, “Harmoni Dalam Kepelbagaian”.
“Di Kelantan, keunikan perpaduan terjalin melalui perkongsian adat dan budaya pelbagai etnik merentasi negeri dan wilayah,” katanya.
Kementerian sebelum ini memaklumkan Pulau Pinang dipilih sebagai lokasi perasmian SMP Peringkat Kebangsaan, yang dijangka berlangsung pada 16 hingga 20 Julai depan.
Selepas Melaka, Kedah dan Kelantan, siri jelajah SMP 2025 akan ke Pahang (9 hingga 11 Mei), Johor (16 hingga 18 Mei), Perlis (14 hingga 15 Jun) dan Terengganu (19 hingga 21 Jun).
Ia kemudian diteruskan ke Sabah (28 hingga 29 Jun), Pulau Pinang (16 hingga 20 Julai), Sarawak (25 hingga 27 Julai), Negeri Sembilan (2 hingga 3 Ogos), Kuala Lumpur (8 hingga 10 Ogos), Labuan (16 hingga 17 Ogos), Selangor (22 hingga 24 Ogos), Putrajaya (12 hingga 14 Sept) dan Perak (26 hingga 28 Sept).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial