AM > BERITA

Persiapan Akhir Hari Wesak Giat Dijalankan, Pulau Pinang Jangka Terima 10,000 Pengunjung

10/05/2025 07:20 PM

GEORGE TOWN, 10 Mei (Bernama) -- Persiapan akhir bagi sambutan Hari Wesak pada Isnin ini sedang giat dijalankan di Pulau Pinang dan lebih 10,000 penganut Buddha serta pengunjung dijangka hadir bagi meraikan perayaan itu.

Tinjauan Bernama di pekarangan bangunan Persatuan Buddha Malaysia (MBA) di Jalan Burma di sini mendapati puluhan sukarelawan bertungkus lumus menyiapkan kereta berhias dengan ribuan kuntuman bunga  selain mendirikan 10 khemah di kawasan itu.

Persiapan sambutan juga berjalan lancar di beberapa kawasan sekitar Pulau Pinang termasuk Kuil Kek Lok Si di Air Itam, Wat Chaiya Mangalaram di Lorong Burma dan Wat Buppharam di Jalan Perak di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Wesak Pulau Pinang Datuk Dr Loh Hock Hun berkata pihaknya sudah memulakan persiapan menyambut Hari Wesak sejak dua minggu lepas bagi memastikan semuanya berjalan lancar dan upacara menyalakan api akan berlangsung pada malam esok.

“Bertemakan ‘Empati dan Kebijaksanaan Asas Keharmonian’, sambutan di Pulau Pinang tahun ini akan menampilkan perarakan besar pada Isnin bermula 6 petang iaitu perarakan tahunan yang telah menjadi tradisi sejak 1949.

“Sebanyak 20 kereta berhias pelbagai persatuan dan kuil akan berarak sejauh tujuh kilometer bermula dari bangunan MBA dan berakhir juga di situ," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata turut diadakan di bangunan MBA ialah pameran bertemakan teratai dari 3 hingga 12 Mei yang mempamerkan seni khat, lukisan, persembahan dan barangan Buddha lain.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Agama Bukan Islam negeri Lim Siew Khim pula berkata 2025 adalah ulang tahun ke-10 sambutan Hari Wesak yang dianjurkan bersama oleh kerajaan negeri dan MBA.

Beliau berkata edisi kali ini berlangsung selama 10 hari dengan pelbagai program yang telah dirancang untuk masyarakat.

“Tahun ini, pada Hari Wesak, pengunjung berpeluang menyaksikan keindahan perayaan Buddha termasuk perarakan kereta berhias dan penganut Buddha dijemput bersama-sama meraikannya.

“Sejak sedekad lalu, kita bukan sahaja menyaksikan perpaduan masyarakat Buddha tetapi juga bagaimana kebaikan dan tenaga positif dapat menghubungkan agama dengan masyarakat,” katanya.

Hari Wesak adalah sambutan terpenting bagi penganut Buddha untuk memperingati kelahiran, pencerahan dan kematian pengasas agama itu, Siddharta Gautama yang diraikan dengan menyalakan colok, lilin berbentuk bunga teratai serta menabur bunga dan memandikan patung Buddha.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan