PUTRAJAYA, 10 Mei (Bernama) -- Hampir 2,000 peserta termasuk kanak-kanak menyertai Larian Energy Efficiency (EE Run) 2025 anjuran Suruhanjaya Tenaga (ST) yang bertujuan membudayakan dan mempromosikan gaya hidup lestari berteraskan amalan kecekapan tenaga bagi memastikan tenaga elektrik digunakan dengan sebaiknya.
Pengarah Jabatan, Perancangan dan Komunikasi Strategik Rumaizi Abdul Halim berkata edisi ketujuh EE Run tahun ini sejak dilancarkan pada 2011 berjaya menarik penyertaan yang memberangsangkan berbanding 1,000 peserta sebelum itu.
Beliau berkata EE Run berbeza dengan acara larian lain kerana ia bertujuan menyemai kesedaran dan amalan kecekapan tenaga dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Ini adalah kali pertama ST menganjurkan EE Run pada waktu malam, selari dengan tema Night Run - Efficiency in Every Step! dalam suasana lebih dingin berbanding siang,” katanya kepada media selepas majlis perasmian oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof di sini malam ini.
Turut hadir Pegawai Eksekutif ST Siti Safinah Salleh.
Beliau berkata Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2024 telah diluluskan oleh Parlimen dan berkuat kuasa 1 Januari lepas.
“Seterusnya ST akan memastikan keseluruhan rakyat Malaysia dan pengguna tenaga mengetahui peranan yang boleh dimainkan dalam istilah kecekapan tenaga,” katanya.
Akta itu adalah tonggak utama dalam usaha negara mencapai matlamat pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Rumaizi berkata EE Run juga bertujuan mempromosikan Bangunan Berlian ST yang juga bangunan hijau dan cekap tenaga bertaraf platinum Indeks Bangunan Hijau (GBI) sebagai simbol komitmen suruhanjaya dalam meneraju penggunaan tenaga elektrik secara optimum dan cekap.
Beliau berkata ST melalui EE Run 2025 akan menyampaikan mesej serta tip-tip kecekapan tenaga dengan cara yang mudah difahami, interaktif dan menyeronokkan.
Selain itu, terdapat juga kuiz, sesi penerangan ringkas serta permainan bertemakan kecekapan tenaga dan gaya hidup hijau yang diadakan sepanjang acara itu.
Selain hadiah wang tunai sehingga RM1,000 bagi juara, larian itu juga memberi penekanan kepada gaya hidup lestari dan setiap peserta akan menerima medal eksklusif berbentuk Bangunan Berlian ST yang diperbuat 100 peratus daripada plastik kitar semula hasil kolaborasi bersama Natureloop.
Acara itu turut melibatkan kolaborasi bersama beberapa kelab larian seperti The Incredible Warrior Club dan Persatuan Pelari Anak Luar Biasa - Little Fighter Runners yang terdiri daripada kanak-kanak istimewa sebagai tanda penyertaan dan sokongan kepada komuniti istimewa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial