PUTRAJAYA, 11 Mei (Bernama) -- Malaysia bebas daripada penyakit antraks sejak kes terakhir yang dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH) pada 1976.
Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan hingga kini tiada sebarang laporan berkenaan penyakit antraks di negara ini.
Menurut DVS, pihaknya memandang serius wabak penyakit itu yang menyebabkan satu kematian manusia yang disahkan akibat jangkitan antraks pada 1 Mei lepas seperti dilaporkan oleh Jabatan Kawalan Penyakit (DDC), Thailand.
Kenyataan itu memaklumkan kes tersebut dikaitkan dengan penyembelihan lembu dan pengambilan daging mentah di Daerah Don Tan, Wilayah Mukdahan di timur laut Thailand yang bersempadan dengan Laos.
“Ketika ini, DVS kekal waspada dan memohon jaminan daripada Thailand bahawa tiada haiwan dan produk haiwan yang disyaki dari kawasan berisiko tinggi antraks dieksport ke Malaysia,” menurut kenyataan itu
DVS memaklumkan penyakit antraks disebabkan oleh bakteria Bacillus anthracis dan merupakan penyakit zoonotik iaitu penyakit haiwan yang boleh menjangkiti manusia dan boleh membawa maut.
“Penyakit ini boleh menjangkiti ternakan dan manusia melalui kontak langsung dengan spora yang dihasilkan oleh bakteria Bacillus anthracis.
“Antraks boleh menyebabkan kadar kematian yang tinggi pada haiwan ternakan dan antara tanda klinikal penyakit ini pada ternakan ialah kematian mengejut serta demam yang tinggi,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, penternak diminta melaporkan segera kepada DVS sekiranya mengesan sebarang tanda tersebut.
“Thailand turut dimohon memberikan status semasa, langkah-langkah yang diambil untuk mengawal pergerakan haiwan dan produk haiwan di negara itu serta pelan kontingensi mengenai penyakit antraks.
“Ini berikutan Malaysia mengimport ternakan hidup iaitu lembu dan kerbau dari Thailand, dan semua ternakan yang memasuki negara ini perlu melalui proses pemeriksaan veterinar yang ketat sebelum dibenarkan masuk,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan sebagai langkah berjaga-jaga, DVS terus menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan demi memastikan negara sentiasa bebas daripada penyakit tersebut.
DVS juga ingin menasihatkan dan menyeru penternak agar meningkatkan tahap biosekuriti ladang terutamanya menjelang hari raya korban yang akan datang.
“Setiap ternakan baharu yang dibawa masuk ke ladang perlu dipastikan tahap kesihatannya melalui pemeriksaan Pegawai Veterinar bertauliah dan permit pemindahan ternakan yang sah.
“Selain itu, penternak perlu berhati-hati dengan sebarang kemasukan ternakan yang tidak mempunyai permit pemindahan yang sah terutamanya ternakan yang dibawa masuk dari negara jiran,” menurut DVS.
Menurut kenyataan itu, semua pihak khususnya penternak diminta supaya sentiasa mengambil perhatian perkembangan semasa berhubung kejadian penyakit haiwan dan melaporkan segera kepada DVS sekiranya mengesan sebarang tanda klinikal penyakit pada haiwan ternakan masing-masing.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial