Oleh Nurliyana Farhah Ruslan
MAKKAH, 11 Mei (Bernama) -- Perkhidmatan kesihatan jemaah haji Malaysia di Tanah Suci mencatatkan pencapaian penting pada musim haji kali ini apabila Unit Kesihatan Awam Tabung Haji (TH) menggunakan tablet digital dalam pelaksanaan program Ziarah Rahmah di setiap maktab di sini.
Penyelaras Operasi Unit Kesihatan Awam TH Dr Abdullah Husam A Shukor berkata penggunaan teknologi itu buat pertama kali pada musim haji tahun ini membolehkan lawatan kesihatan dari bilik ke bilik dilaksanakan dengan lebih pantas, tersusun dan menyeluruh.
“Tahun ini, TH membekalkan petugas dengan tablet digital lengkap dengan kad SIM dan capaian Internet. Petugas kesihatan kini boleh terus mengakses maklumat kesihatan jemaah melalui sistem tersebut secara dalam talian setiap kali mengunjungi mereka.
“Dengan penggunaan tablet ini, petugas kesihatan dapat mengakses Laporan Pemeriksaan Kesihatan Bakal Haji dalam sistem MyVAS milik Kementerian Kesihatan melalui sistem Sihat (sistem informasi kesihatan dibangunkan TH bagi kegunaan petugas perubatan khusus di Tanah Suci) secara dalam talian,” katanya ketika ditemui media di sini.
Dr Abdullah Husam berkata pendekatan baharu itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding kaedah manual yang menggunakan Buku Rekod Rawatan Jemaah Haji bagi mencatat maklumat rawatan jemaah pada musim haji sebelum ini.
Beliau berkata kemudahan itu juga membolehkan petugas menyemak sejarah kesihatan jemaah termasuk status penyakit, jenis ubat yang diambil serta keperluan rawatan lanjut dengan lebih cepat dan tepat.
“Transformasi digital ini menjadikan kerja kami lebih efisien, petugas boleh mengetahui dengan segera status kesihatan jemaah, sama ada dalam kategori hijau (sihat), kuning (berisiko) atau merah (penyakit kronik), sekali gus membantu dalam penetapan keutamaan ziarah serta tindakan intervensi awal,” katanya.
Dr Abdullah Husam berkata ketika Ziarah Rahmah, petugas kesihatan TH turut memberi pendidikan kesihatan khususnya berkaitan kelesuan haba, strok haba, dehidrasi dan risiko jangkitan pernafasan.
“Jemaah turut dinasihatkan minum sekurang-kurangnya dua liter air setiap hari selain tidak terdedah kepada cuaca panas terik terutamanya antara waktu tengah hari hingga Asar, serta memakai topi, payung dan pelitup muka di kawasan sesak termasuk di Masjidil Haram,” katanya.
Selain kesihatan umum, beliau berkata Ziarah Rahmah turut membantu petugas kesihatan mengesan kes penyakit yang tidak dilaporkan seperti sakit mata dan luka ringan.
Tambah beliau jemaah juga akan dibantu mendapatkan ubat sekiranya bekalan tidak mencukupi dan jika perlu mereka akan dirujuk ke klinik TH terdekat sebagai contoh, jemaah di Hotel Abraj Al Janadriyah akan dirujuk ke klinik di tingkat tiga.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial