AM > BERITA

Semua Pelatih PLKN Ikuti Modul Latihan Sama - KP JLKN

11/05/2025 04:15 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Semua pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 2/2025 yang bermula hari ini akan mengikuti modul latihan yang sama,  meskipun mereka ditempatkan di dua kem berbeza mengikut jantina.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Mejar Jeneral Datuk Ya'cob Samiran berkata pelatih lelaki yang ditempatkan di Kem Rejimen 505 Askar Wataniah di Pekan, Pahang akan menjalani latihan yang sama seperti pelatih wanita di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah di sini.

“Tiada perbezaan dari segi kandungan modul latihan. Jika ada perbezaan pun, ia hanya melibatkan kemampuan fizikal dan tahap kesihatan pelatih masing-masing.

“Latihan fizikal juga akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut tahap kesukaran dan kemampuan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau proses pendaftaran pelatih wanita di Kem 515 Askar Wataniah di sini hari ini.

Beliau berkata walaupun struktur asas modul latihan dikekalkan, beberapa penambahbaikan telah dilakukan berbanding modul yang digunakan oleh pelatih PLKN 3.0 Siri 1/2025.

“Modul latihan masih mengekalkan 70 peratus latihan asas ketenteraan dan 30 peratus komponen kenegaraan, namun terdapat sedikit penambahbaikan dari segi pelaksanaannya, khususnya dalam bentuk amali,” katanya.

Mengulas mengenai proses pendaftaran hari ini, Ya'cob berkata seramai 550 pelatih, terdiri daripada 350 pelatih lelaki dan 200 pelatih wanita, dijangka menyertai PLKN kali ini yang berlangsung selama 45 hari bermula hari ini hingga 24 Jun.

Beliau menjelaskan bahawa proses pendaftaran dijangka mengambil masa dua hingga tiga hari memandangkan masih terdapat pelatih yang memohon mendaftar lewat atas sebab tertentu seperti lokasi kem dan belum bersedia.

Menurutnya, JLKN turut menerima pelatih yang mendaftar secara sukarela, bergantung kepada kekosongan, dan setakat ini seramai 30 pelatih sukarela telah mendaftar.

Sebelum ini, seramai 116 pelatih PLKN 3.0 Siri 1/2025 berjaya menamatkan latihan selama 45 hari yang bermula pada 12 Jan hingga 25 Feb lepas di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah di sini.

PLKN 3.0 siri pertama yang dilaksanakan selepas tujuh tahun dimansuhkan itu melibatkan 73 pelatih lelaki dan 43 pelatih wanita berusia antara 18 hingga 25 tahun.

Pelaksanaan semula program ini secara berperingkat bertujuan memupuk semangat patriotisme, perpaduan nasional dan jati diri dalam kalangan belia Malaysia, selain membekalkan mereka dengan ketahanan fizikal dan mental dalam menghadapi cabaran hidup.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah JLKN Sektor Latihan Brigadier Jeneral Zainudin Bahari berkata jumlah pelatih yang melapor diri di Kem Rejimen 505 Askar Wataniah di Pekan, Pahang melebihi senarai pendaftaran dokumen lengkap yang diterima.

“Ikut senarai kita mempunyai 179 pelatih lelaki yang telah melengkapkan segala dokumen pendaftaran diterima tetapi kehadiran pelatih yang melaporkan diri melebihi jumlah iaitu 206 pelatih termasuk dari Sabah dan Sarawak.

“Walapun pendaftaran di kaunter utama telah ditutup kita masih memberi peluang kepada pelatih yang hadir lewat untuk mendaftar hingga 16 Mei ini sebelum 12 tengah hari,” katanya kepada pemberita ketika meninjau hari pendaftaran PLKN di Kem Rejimen 505 Askar Wataniah di Pekan.

Beliau berkata kem berkenaan hanya menempatkan pelatih lelaki yang boleh memuatkan kapasiti 350 orang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan