AM > BERITA

Sabah Mampu Maju Jika Ada Kerjasama Erat Persekutuan, Negeri Bela Nasib Rakyat - Anwar

11/05/2025 05:59 PM

TAWAU, 11 Mei (Bernama) -- Sabah mampu menjadi sebuah negeri yang maju jika ada kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri dalam membela nasib rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sehubungan dengan itu, beliau memberi jaminan untuk berusaha sedaya upaya merealisasikan hasrat itu dan seterusnya memberikan kehidupan yang lebih baik untuk rakyat di negeri ini.

Anwar berkata menjadi kebiasaan bagi sesebuah negeri untuk meminta peruntukan bagi memajukan negeri, dan perkara itu boleh dibincangkan secara bersama antara kerajaan Persekutuan dengan negeri secara mesra serta harmoni.

“Ini adalah biasa tetapi bukan dengan cara bermusuh, mencerca. Kita runding dan cari penyelesaian yang baik, pilih wakil-wakil rakyat yang boleh menyuarakan kepentingan kita dan bukan untuk pecah-belahkan kita.

“Ini pesanan saya, kalau kita cinta negara kita, cinta negeri kita, tingkatkan muafakat kita. Kita juga harus bersyukur kepada Allah, syukur kerana kita aman, tidak perang tidak bergaduh kerana politik,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Sabah di Dataran Majlis Perbandaran Tawau di sini hari ini.

Anwar turut menegaskan supaya semua rakan-rakan pimpinan serta memegang kuasa kini di peringkat Persekutuan dan negeri, untuk melaksanakan yang terbaik dalam membela nasib rakyat dan menyelesaikan permasalahan mereka serta tidak mengikut jejak pemimpin yang hanya pandai mencerca apabila hilang kuasa.

“Bila hilang kuasa (keluar isu) jaga Melayu, Islam terancam, negeri tidak dijaga, kamu ada kuasa dulu, buat masa ada kuasa. Saya cabar rakan-rakan yang ada, buatlah sebaiknya untuk rakyat masa kita ada kuasa," kata beliau.

Perdana Menteri berkata rakyat terutama di Sabah, terkesan dengan banyak permasalahan antaranya bekalan air, elektrik, kesihatan, jalan raya serta kemudahan pendidikan untuk anak-anak yang amat penting untuk masa depan mereka.

Oleh sebab itu beliau berkata kemudahan sekolah, klinik dan projek penting seperti Lebuh Raya Pan Borneo Sabah, perlu disiapkan dengan tuntas untuk rakyat dan tidak dibiarkan untuk lewat disiapkan begitu sahaja.

“Dalam Kerajaan MADANI, ini kita lakukan, ada orang kata belum cukup dan saya setuju belum cukup. Kadang-kadang masalah kita tanggung diwarisi sekian lama, nak selesaikan dalam masa singkat tidak boleh.

“Berapa lama sangkut Lebuh Raya Pan Borneo (Sabah) ini, di Sarawak hampir siap, Sabah tergendala teruk, nasib baik kita ada Ketua Menteri Hajiji kata jalan terus, jangan peduli masalah lain,” kata beliau.

Anwar berkata beliau datang ke Sabah demi berkhidmat untuk rakyat negeri itu sebagai seorang Perdana Menteri dan berharap semua rakan pimpinan faham akan tanggungjawab masing-masing untuk membela nasib rakyat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan