BERITA TERGEMPAR   Kemalangan lori FRU : Angka kematian meningkat sembilan orang - Polis | 
 AM > BERITA

Dua Senator Angkat Sumpah, Fokus Perjuang Hak Orang Asli, Wanita

13/05/2025 02:10 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Dua Ahli Dewan Negara yang baharu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah, hari ini.

Mereka ialah Ketua Umum Penyelaras Pembangunan Insaniah Masyarakat Asli Pahang (PEPIMA) Shahrol Wizan Sulong dan Ketua Wanita UMNO Pahang yang juga bekas Ketua Unit Wanita dan Sosial Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang Norhasmimi Abdul Ghani.

Kedua-duanya merupakan lantikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, berkuat kuasa hari ini hingga 12 Mei 2028.

Awang Bemee berkata beliau mengalu-alukan pelantikan itu dan berharap semua Ahli Dewan Negara dapat melaksanakan libat urus secara aktif dengan pelbagai pihak, sama ada sektor awam mahupun swasta baik di dalam atau luar negara, berhubung perkara-perkara melibatkan kepentingan awam.

“Libat urus ini tidak seharusnya terhad kepada negara-negara yang mengamalkan sistem Westminster sahaja, sebaliknya turut melibatkan blok ekonomi seperti ASEAN dan BRICS, khususnya dalam isu-isu yang memberi kesan langsung kepada ekonomi negara, termasuk isu tarif,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa ASEAN kini merupakan ekonomi kelima terbesar dunia, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bernilai USD3.67 trillion serta populasi 678 juta orang.

“Sebagai pemegang taruh, kita semua harus berperanan memperkukuh hubungan dengan blok-blok ini,” kata beliau.

Sementara itu, dalam sidang media selepas majlis tersebut, Shahrol Wizan yang merupakan anak daripada kaum Orang Asli, menzahirkan komitmennya untuk memperjuangkan hak dan suara masyarakat itu  agar mereka turut menikmati arus pembangunan yang saksama.

Norhasmimi pula melihat pelantikannya sebagai peluang untuk mengetengahkan pelbagai isu berkaitan wanita dan rakyat Pahang ke peringkat nasional.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan