TANAH MERAH, 13 Mei (Bernama) -- Majlis Getah Malaysia (MRC) akan memperkenalkan teknologi torehan, pengumpulan dan pencairan getah kepada 82 pekebun kecil di Bukit Panau di sini.
Pengerusi MRC Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor berkata teknologi itu dapat membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah di kawasan terbabit.
"Kita sudah memperkenalkan penggunaan teknologi ini di Janda Baik, Pahang sebagai projek rintis dan seterusnya akan dibawa ke Kelantan di Bukit Panau.
"Saya sudah berbincang dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) menerusi Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan untuk melaksanakan projek ini kerana kita tahu rata-rata rakyat yang miskin di negeri ini terdiri daripada golongan petani, nelayan dan pekebun kecil getah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program 'Jom Masuk U' dan Majlis Sumbangan Anugerah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 Peringkat Parlimen Tanah Merah di sini hari ini.
Mohamad Suparadi berkata walaupun rata-rata pekebun getah di negeri ini mengusahakannya di tanah sendiri, namun mereka tidak memperoleh hasil yang baik.
"Justeru, kita mahu meningkatkan pendapatan mereka daripada RM700 sebulan kepada lebih RM5,000 sebulan.
“Dengan keluasan kebun yang sama, teknologi yang diperkenalkan MRC dapat menambah kualiti serta kuantiti lateks," katanya.
Beliau berkata industri getah negara masih relevan walaupun terdapat sedikit halangan susulan pengumuman tarif oleh Amerika Syarikat (AS) dengan kerajaan sentiasa mencari jalan menambah baik eksport dari segi kualiti dan sebagainya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial